Tapak bina hospital baharu Kampar dimuktamadkan - Utusan Malaysia

Tapak bina hospital baharu Kampar dimuktamadkan

A. SIVANESAN (tiga dari kiri) menunjukkan lakaran lokasi tapak pembinaan Hospital Kampar yang baharu di Changkat Baru, Kampar hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Kerajaan negeri sudah mengenal pasti tapak pembinaan Hospital Kampar yang baharu bagi menggantikan hospital sedia ada yang tidak mampu menampung pertambahan pesakit.

Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin berkata, peruntukan pembinaan hospital itu diluluskan semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam Bajet 2020 tetapi tidak dapat diteruskan berikutan berlaku ‘Langkah Sheraton’.

Menurutnya, peruntukan bagi pembinaan hospital ini sebanyak RM500 juta sudah pun diluluskan pada 2020 oleh Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng.

“Sebelum ini ada tiga lokasi cadangan pembinaan hospital tersebut tapi akhirnya kita telah muktamadkan tapak baru ini sebagai lokasi pembinaan Hospital Kampar yang baharu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika melawat lokasi tapak pembinaan Hospital Kampar yang baharu di Changkat Baru di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan berkata, tapak pembinaan hospital baharu itu seluas 28.94 ekar, lebih kecil berbanding lokasi sebelum ini.

Katanya, sebelum ini, ada sebidang tanah lagi yang dikenal pasti namun didapati tanah itu tidak sesuai.

“Tapak baharu ini seluas, 28.94 ekar, dua kali ganda lebih kecil berbanding tapak cadangan sebelum ini tetapi tapak lama itu lebih daripada separuh adalah lombong.

“Jadi untuk membuat ‘soil investigation’ dan pemulihan semula tanah akan memakan belanja yang amat tinggi. Tapak baharu ini adalah tanah di tapak baharu ini tak perlu buat apa-apa, kita boleh terus membina hospital,” katanya.

Menurutnya, pembinaan Hospital Kampar yang baharu mungkin akan siap dalam masa lima tahun.

“Penduduk di Kampar telah menunggu hospital selama bertahun-tahun. Saya akan pastikan projek itu akan menjadi kenyataan dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Katanya, lokasi baru bagi pembinaan hospital tersebut terletak berhampiran kawasan Malim Nawar, Kampar dan Gopeng.

“Lokasi ini terletak di tengah ketiga-tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Malim Nawar, Keranji dan Tualang Sekah termasuk Parlimen Gopeng.

“Lokasi ini adalah tidak jauh dari Gopeng di mana tidak ada hospital langsung di kawasan mereka. Kebiasaannya, mereka terus harus pergi ke Kampar atau Ipoh.

“Kalau ada hospital di sini, mereka boleh datang. Penduduk di Batu Gajah pun boleh datang sini,” katanya.

Sebelum ini, tapak yang dicadangkan untuk pembinaan hospital baharu di daerah ini adalah di satu kawasan bekas lombong seluas 100 ekar namun kerana komposisinya 60 peratus air dan 40 peratus tanah menyebabkan cadangan itu dibatalkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya