PETALING JAYA: Persatuan Pakar-Pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA) menggesa kerajaan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang sepatutnya dibentangkan untuk bacaan kedua pada sesi Parlimen bulan ini.
Presidennya, Dr. Nor Hazlin Talib berkata, sebarang tindakan melengahkan atau menangguhkan RUU itu boleh membawa remaja di negara ini selangkah ke arah kemudaratan yang nyata.
“FMSA dengan tegas mencela tindakan mana-mana pihak yang cuba mempolitikkan isu ini dan berselindung di sebalik kuasa legislatif yang dimandatkan kepada mereka,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, penjualan nikotin tidak dikawal selia oleh mana-mana undang-undang di Malaysia sejak pengeluaran cecair nikotin daripada Akta Racun pada 1 April lepas dan ia membuka ruang kepada penjualan tidak terkawal kepada remaja dan kanak-kanak bawah umur.
Katanya, perkara itu juga disokong oleh dapatan tinjauan Pusat Racun Negara yang mendapati produk vape dijual sebaris dengan gula-gula dan alat tulis di kedai-kedai runcit.
“Malah, pakar-pakar perubatan keluarga Universiti Malaya dan Pusat Perubatan Universiti Malaya yang giat menjalankan aktiviti advokasi pencegahan dan berhenti merokok dan vape sejak tahun 2015 menyuarakan kebimbangan dengan trend vaping dalam kalangan remaja dan kanak-kanak ini.
“Dalam pengalaman mereka menyantuni remaja sekolah sekitar usia 13 hingga 16 tahun, terdapat pola penggunaan vape yang merisaukan. Ini termasuklah aktiviti mencampurkan vape dengan cecair yang mengkhayalkan seperti psilocybin (dikenali sebagai mushroom flavour oleh remaja) dan juga meletakkan tar di dalam cecair e-liquid.
“Pola ini amat merisaukan kerana campuran dadah halusinogen bukan sahaja memberikan risiko kesihatan yang serius seperti keracunan akut dan ketagihan, malah, ia boleh meningkatkan risiko masalah sosial seperti kes rogol di bawah pengaruh dadah yang berlaku di Sabah pada bulan Mei 2023,” katanya.
Selain itu, katanya, peranti vape yang menggunakan bateri lithium ion berisiko meletup dan menyebabkan kecederaan serius serta meningkatkan risiko kebakaran.
Ujarnya, kajian juga menunjukkan kandungan bahan kimia seperti propylene glycol, vegetable glycerine dan juga perasa di dalam vape berpotensi merosakkan paru-paru dan salur pernafasan.
“Ini disokong lagi oleh pengalaman yang dikongsikan Pakar Perubatan Keluarga di Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Nur Amani dan Pakar Perubatan Keluarga Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr. Megat di mana terdapat beberapa pelajar yang mengalami kemerosotan dari kebolehan melakukan aktiviti fizikal selepas terjebak dengan penggunaan vape.
“Remaja yang mula menggunakan vape seawal usia 12 tahun dengan mencuba vape yang ditinggalkan oleh ayahnya itu tidak lagi berupaya menyertai aktiviti fizikal seperti bermain bola sepak sebaliknya hanya berada di tepi padang sahaja sewaktu slot pendidikan jasmani dan kesihatan.
“Seorang remaja berumur 15 tahun dengan mudah dapat membeli vape tanpa diperiksa kad pengenalannya. Dia mengaku memasukkan tar jalan raya yang ditumbuk halus kedalam cecair e-jus bagi menaikkan rasa ‘mabuk; apabila menggunakan vape.
“Seorang lagi remaja lain berusia 13 tahun baru-baru ini dibuang dari sekolah kerana ditangkap menggunakan vape berkali-kali oleh guru sekolahnya,” katanya.
Nor Hazlin menambah, negara yang meringankan peraturan penggunaan vape seperti England dan New Zealand juga menghadapi peningkatan dalam golongan remaja dan kanak-kanak yang terjebak dengan ketagihan ini.
“Kajian tinjauan kesihatan remaja 2022 menunjukkan berlakunya perubahan pola penggunaan rokok dalam kalangan remaja di mana berlakunya penurunan penggunaan rokok konvensional, tetapi penggunaan vape pula semakin meningkat.
“Lebih merisaukan, enam peratus daripada remaja yang menggunakan vape adalah dalam kalangan remaja perempuan berbanding hanya satu peratus bagi penggunaan rokok konvensional.
“Ini membuktikan penerimaan vape lebih tinggi dalam kalangan remaja, sesuai dengan bukti-bukti kajian global yang membuktikan remaja menggunakan vape kerana sifat ingin tahu, sebagai gaya hidup dan perasa yang menarik minat mereka,” katanya. -UTUSAN