Tampar isteri, penganggur dipenjara enam bulan - Utusan Malaysia

Tampar isteri, penganggur dipenjara enam bulan

R. KUMARAN dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan isterinya. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Padah menampar isteri kerana berang tidak diberikan wang, seorang penganggur menerima balasan apabila dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, R. Kumaran, 32, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah ke atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan kepada isterinya, R. Santhini, 32, di ruang tamu sebuah rumah di Taman Kledang Emas di Ipoh pada pukul 6.45 petang, 4 Oktober 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, tertuduh juga mengaku bersalah kerana didapati gagal mengemukakan kad pengenalan diri ketika diminta oleh Inspektor Ishak Jumain di lokasi sama pada pukul 1.20 petang, 5 Oktober 2023.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Peraturan 25 (1) (n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Nabilah Norzam manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M. Kathan.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan dan hukuman berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 5 Oktober lalu.

Tangkapan terhadap tertuduh yang memiliki tujuh rekod bersabit kes dadah dan satu rekod jenayah itu dibuat susulan laporan polis oleh isterinya yang mendakwa ditampar di bahagian muka sebelah kiri.

Tertuduh bertindak demikian ekoran berang tidak diberikan wang selain mengamuk dengan memecahkan barang-barang di dalam rumah dan mengugut untuk membunuh isteri dan membakar motosikal bapa mertua jika laporan polis dibuat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN