Tajuddin kena bayar RM120k kepada Khalid Samad, KiniTV

Tajuddin kena bayar RM120k kepada Khalid Samad, KiniTV

TAJUDDIN ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman diperintah membayar kos berjumlah RM120,000 kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan portal video, KiniTV.

Kos tersebut adalah berhubung kes saman Tajuddin terhadap Khalid yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat pada dua sidang akhbar di lobi Parlimen pada 21 dan 24 November 2016.

Pada 22 Februari 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman Tajuddin tanpa sebarang perintah berhubung kos atas alasan kes itu berkepentingan awam.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk S. Nantha Balan yang bersidang bersama-sama Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dan Datuk Dr. Choo Kah Sing sebulat suara memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Tajuddin dan KiniTV berhubung kos.

“Kebiasaannya sesuatu pihak tidak diberikan kos ekoran tindakan atau sikap pihak ketika mengendalikan kes. Namun tiada mana-mana bahagian dalam penghakiman hakim terdahulu yang memberikan penjelasan kenapa defendan pertama (Khalid) dan defendan ketiga (KiniTV) tidak diberikan kos.

“Hanya kerana ia membabitkan ahli-ahli parlimen yang bertelagah di lobi parlimen tidak menjadikan ia satu kes berkepentingan awam. Masyarakat awam mungkin berminat dengan kes ini tetapi ia bukan satu kes berkepentingan awam.

“Oleh itu, adalah adil dan wajar untuk mengetepikan penghakiman (mahkamah terdahulu) yang menafikan hak Khalid dan KiniTV mendapatkan kos. Mahkamah dengan ini menetapkan kos global sebanyak RM60,000 meliputi kos di Mahkamah Tinggi, peringkat kebenaran dan rayuan perlu dibayar kepada setiap defendan,”kata Hakim Nantha.

Pada prosiding hari ini, Khalid diwakili peguam Datuk S. N. Nair dan Jaden Phoon Wai Ken manakala KiniTV diwakili peguam, K. Shanmuga. Tajuddin diwakili peguam, Datuk Hasnal Rezua Merican dan Muzammil Merican.

Pada 26 April 2017, Tajuddin memfailkan saman terhadap Khalid yang juga bekas Ahli Parlimen Shah Alam, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dan KiniTV Sdn Bhd selaku defendan pertama hingga ketiga.

Dalam pernyataan tuntutan, Tajuddin selaku plaintif mendakwa, Khalid mengeluarkan dua kenyataan fitnah terhadapnya termasuk memanggilnya dengan kata-kata kesat ketika mengadakan dua sidang media di lobi Parlimen, masing-masing pada 21 dan 24 November 2016.

Tajuddin mendakwa, kenyataan pertama Khalid diterbitkan NSTP melalui artikel bertajuk ‘Fury over Deputy Minister’s Remark’ pada 22 November 2016 dan kenyataan kedua defendan disiarkan di KiniTV pada 24 November tahun sama manakala kedua-dua kenyataan itu juga diterbitkan di Youtube yang boleh diakses oleh orang ramai.

Pada 22 Februari 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman Tajuddin atas alasan kenyataan yang dibuat Khalid dan disiarkan oleh KiniTV dan NST, tujuh tahun lalu tidak bersifat fitnah.

Sebaliknya kenyataan tersebut dibuat rentetan daripada ucapan seksis plaintif (Tajuddin) di prosiding Parlimen terhadap Ahli Parlimen Seputeh (Teresa Kok).

Mahkamah menolak saman tersebut tanpa sebarang perintah berhubung kos.

Pada 7 September 2022, Khalid dan KiniTV memperoleh kebenaran untuk merayu di Mahkamah Rayuan bagi menuntut kos daripada Tajuddin. NSTP tidak memfailkan sebarang permohonan untuk merayu bagi isu sama. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN