Syarikat besar UAE berhasrat tambah pelaburan di Malaysia - Utusan Malaysia

Syarikat besar UAE berhasrat tambah pelaburan di Malaysia

ANWAR Ibrahim mengadakan pertemuan bersama Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan di Istana Qasr Al Shati' di Abu Dhabi. - FACEBOOK ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri diberitahu banyak syarikat besar di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang telah melabur di Malaysia berhasrat menambah pelaburan mereka.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam lawatan kerjanya ke negara itu, beliau berpeluang bertemu 40 wakil daripada 21 syarikat besar yang merancang menambah pelaburan.

Sehubungan itu, beliau telah berkongsi dengan syarikat berbabit mengenai bagaimana Malaysia berjaya menarik pelbagai pelaburan baharu dari syarikat-syarikat terkemuka global seperti Tesla, Infineon dan Geely.

“Malaysia telah lama menjalin hubungan akrab dengan UAE, terutama dengan Abu Dhabi.

“Saya menekankan pentingnya perkongsian strategik bukan sahaja di dalam satu atau dua sektor, tetapi di dalam pelbagai sektor.

“Industri halal dan kewangan Islam Malaysia adalah satu sektor menyaksikan banyak kerjasama boleh dijalin, dan saya berkongsi Malaysia juga menekankan konsep keadilan sosial melalui pelaksanaan industri halal.

“Insya-Allah, jalinan perhubungan dua hala antara Malaysia dan UAE akan terus ditambah baik.

“Yang sama penting, Pelan Halatuju Peralihan Tenaga Baharu (NETR) dan juga Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP2030) bakal mengukuhkan asas industri dan perniagaan di Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebooknya, semalam.

Antara syarikat tersebut ialah ADNOC, TAQA, MASDAR, Al-Dahra, Lulu, DP World, ADIA dan Mubadala. Majlis Pelabur Antarabangsa UAE dan Dewan-Dewan Perniagaan Abu Dhabi dan Dubai turut berhasrat menambah pelaburan sedia ada.

Dalam hantaran berasingan, Anwar terdahulu bertemu dengan Presiden UAE merangkap pemerintah Abu Dhabi serta Panglima Tertinggi Angkatan Tentera UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan di Istana Qasr Al Shati’.

Katanya, sesi itu bagi bertukar pandangan serta idea berkaitan isu glokal (global dan lokal) terkait selain perbincangan untuk mengukuhkan kerjasama dan hubungan sedia ada.

“Khasnya dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan, tenaga boleh diperbaharui, keselamatan makanan, dan lain-lain yang memenuhi visi kedua-dua negara untuk masa depan yang mampan dan makmur,” katanya.

Dalam usaha meluaskan lagi hubungan sedia ada, katanya, Malaysia-UAE akan menjalin kerjasama melalui perjanjian persefahaman pelaburan antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Majlis Pelaburan Antarabangsa UAE (UAEIIC).

“Kedua-dua negara juga meluluk (mengintai) ruang lingkup kerjasama berkaitan tenaga boleh diperbaharui antara MIDA dan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC – MASDAR yang mana, MOU ini bertujuan membangunkan secara bersama kapasiti sebanyak 10 gigawatt bernilai USD8 bilion dalam sektor tenaga boleh diperbaharui di Malaysia menjelang 2025.

“Kesepaduan kerjasama Malaysia-UAE berkaitan perdagangan dan pelaburan turut diharmoni dengan pelantikan Presiden dan CEO Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja sebagai Pengerusi Malaysia-UAE Business Council (MUBC) manakala Naib Presiden Kanan Mubadala Energy, Rashid Alblooshi mewakili UAE,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya