IPOH: Pemain negara, D Suresh Kumar melakar sejarah apabila muncul juara acara beregu lelaki Kejohanan Tenis ITF World Tennis Tour Juniors J60 di Arena Tenis Perak di sini semalam.
Bergandingan dengan pemain Indonesia, Jaden Dewandaka Tan, mereka yang turun selaku pilihan kedua kejohanan bagaimanapun dipaksa bekerja keras oleh pilihan keenam Dubin Veldemar-Victor Tauson.
Malah pasangan Denmark-Sweden itu mengejutkan apabila menang set pertama 7-6(3).
Begitupun, Suresh-Tan bangkit dengan kemenangan 6-2 dan 10-5 pada set kedua dan ketiga.
Namun, impian Suresh melakar kejayaan dalam acara perseorangan gagal apabila tumpas kepada pilihan utama, Kim Juan 6-4, 6-1 pada separuh akhir.
Pemain Korea itu akan bertemu pilihan kedua Jaden Dewandaka Tan hari ini.
Jaden membenam pilihan kelapan, V Manikantan dari India 6-1,6-0.
Sementara itu, dalam acara perseorangan perempuan pilihan utama, Yu Kikawa dari Jepun dan pilihan kedua, M Raneshwaran Revathi layak ke final.
Kikiwa menumpaskan Tajeswari Dabas (4) manakala Raneshwaran menyingkir Yasmin Vavrowa (3). – UTUSAN