Sungai Sembilang kelas lima, tercemar teruk - Utusan Malaysia

Sungai Sembilang kelas lima, tercemar teruk

Sungai Sembilang
AIR tercemar berwarna hitam dan berbau mengalir keluar melalui Pangkalan Nelayan Sungai Sembilang, Jeram di Kuala Selangor, Selangor. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kualiti air di bahagian muara Sungai Sembilang yang menjadi pangkalan lebih 60 nelayan tradisional diklasifikasikan sebagai kelas lima iaitu paling teruk tercemar.

Penilaian tersebut dibuat berdasarkan bacaaan pada paras kandungan amonia dan bahan kimia oksigen terlarut (COD) yang didapati menyebabkan kualiti air di sana berwarna hitam serta berbau.

Pelepasan tersebut dipercayai berpunca daripada mendapan bahan pencemar pada dasar sungai sebelum pintu air yang berlarutan hampir 10 tahun sejak sungai itu mula berdepan dengan isu pencemaran.

Bagaimanapun, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan agensi lain termasuk Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan memulakan langkah awal mengatasi masalah tersebut termasuk menggali mendapan tersebut sebagai tindakan jangka pendek.

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, penyelesaian isu tersebut akan dilakukan ke arah memulihkan sungai daripada kelas lima kepada kelas lebih tinggi (empat hingga satu).

“Sudah tentu itu bukan perkara yang mudah, selain daripada penglibatan aktif agensi, kita juga perlu melibatkan kos untuk memulihkan sungai, membuat penggalian tanah dan sebagainya.

“Sebab itu salah satu punca, apabila enapan tercemar terperangkap di dasar sungai terlalu lama, ia tidak ada faktor pencairan atau asimilasi dan kita tengok dekat salah satu bahagian airnya tenang tak ada aliran, itu pun salah satu punca juga menyebabkan sebarang bahan tercemar terkumpul di situ,” katanya kepada pemberita selepas memantau kualiti sungai itu, hari ini.

Sungai Sembilang
HARRISON Hassan (tengah) mendengar taklimat daripada pegawai LUAS dan Nor Aziah Jaafar (dua, kiri) ketika meninjau muara Sungai Sembilang dekat Pangkalan Nelayan Sungai Sembilang, Jeram, di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. – UTUSAN / SADDAM YUSOFF

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, lebih 60 nelayan di Sungai Sembilang yang mengusahakan ternakan benih kupang di muara Sungai Sembilang di sini mendakwa mengalami kerugian sehingga RM200,000 semusim akibat pencemaran.

Pencemaran berkenaan didakwa sudah berlarutan lebih 10 tahun namun tiada tindakan efektif menyelesaikan masalah itu.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan memberi jaminan pihaknya akan bekerjasama rapat dengan pasukan pemantau berkenaan bagi memastikan isu dihadapi nelayan itu dapat diselesaikan.

“Paling penting kami keempat-empat pihak bersetuju untuk bekerjasama pihak DUN juga dapat memantau dan menyampaikan kepada penduduk tentang progres tindakan-tindakan selain mencari punca pencemaran dan memperbetulkan keadaan (sungai), jadi itu jalan saya.

“Mungkin perkara ini ada pelan jangka panjang, bukanlah saya turun hari ini esok selesai, tidak. Perkara ini menjadi tanggungjawab semua orang, budaya baharu kena kekalkan (untuk menjaga sungai dan alam sekitar),” ujarnya.

Katanya lagi, beliau menafikan tapak pelupusan sampah Jeram menjadi punca kepada pencemaran tersebut apabila pelepasan air sisa ke dalam sungai adalah terawat dan mematuhi piawaian JAS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya