TANJUNG MALIM: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Proton City di sini, hari ini.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah.
Pada majlis perasmian itu, Sultan Nazrin berkenan menandatangani plak sebagai simbolik perasmian.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam ucapannya pada majlis tersebut berkata, sesi persekolahan rasmi sekolah berkenaan bermula pada 5 Februari 2018 dan mempunyai 42 bilik darjah.
Menurutnya, sekolah itu dilengkapi kemudahan dewan, padang, astaka, surau dan kantin.
Menurut beliau, buat masa ini sekolah itu mempunyai 675 pelajar, 61 guru dan tujuh staf sokongan.
“Konsep bilik darjah bergerak atau mobile classroom diperkenalkan oleh pihak pengurusan sekolah untuk mengoptimumkan penggunaan 42 bilik darjah di sekolah itu.
“Ciri utama mobile classroom tersebut ialah pelajar-pelajar tidak mempunyai kelas yang tetap.
“Mereka akan bergerak ke bilik guru mata pelajaran mengikut jadual waktu yang telah ditetapkan. Setiap guru mata pelajaran diperuntukkan satu bilik kelas dan pengurusan bilik tersebut dilakukan sepenuhnya guru berkenaan,” katanya. – UTUSAN