Suami tikam isteri: Suspek direman seminggu - Utusan Malaysia

Suami tikam isteri: Suspek direman seminggu

SUSPEK (dua dari kiri) dibawa masuk ke Kompleks Mahkamah Kangar bagi mendapatkan permohonan reman susulan kes seorang jururawat yang maut ditikam di sebuah rumah sekitar Jalan Padang Nyu, Arau, Perlis.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang bekas tentera yang dipercayai menikam isterinya sehingga maut dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu, Arau, semalam direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 7 Oktober.

Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret, Siti Norhasliza Md. Ali.

Terdahulu, suspek berkenaan tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kangar dengan berpakaian berwarna oren kira-kira pukul 8.20 pagi.

Suspek tersebut juga dibawa masuk ke mahkamah dengan diiringi anggota polis bagi mendapatkan perintah reman berkenaan.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, akibat cemburu dengan mengesyaki isterinya berlaku curang dipercayai menjadi punca seorang suami bertindak menikam isterinya dengan sebilah pisau di bahagian kiri dada wanita berkenaan dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, dipercayai telah terjadi pergaduhan terlebih dahulu antara suspek berusia 38 tahun yang juga merupakan pesara tentera dan isterinya,31, merupakan seorang jururawat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) yang pada masa itu sedang bersedia untuk keluar pergi bekerja.

Selepas menikam isterinya di ruang tamu rumah, suspek dikatakan telah membawa wanita berkenaan ke dalam bilik utama dan menutup mangsa dengan selimut tebal seterusnya menghantar dua anak mereka ke rumah pengasuh.

Siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN