PETALING JAYA: Stigma negatif terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) antara punca negara berhadapan kekurangan pakar sains yang boleh menjejaskan usaha mencapai status negara maju.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Saintis Penyelidik Malaysia (MARS), Dr Muhd Noor Muhd Yunus berkata, persepsi yang diberikan terhadap bidang STEM susah dan kerjaya yang tidak begitu baik berbanding bidang-bidang lain juga mempengaruhi para pelajar.
“Kebanyakan pelajar melihat bidang ini susah selain persepsi STEM hanya untuk pelajar pandai sahaja sehingga dimonopoli oleh golongan tertentu.
“Dikalangan pelajar pandai pula cenderung untuk masuk satu lorong sahaja iaitu bidang kedoktoran berbanding jurutera atau ahli sains oleh kerana kadar gaji dan peluang kerjaya yang lebih baik,” katanya.
Jelasnya, bagi mencapai status negara maju, bidang STEM ini sangat diperlukan sebagai contoh negara China yang dapat mengejar dan melangkaui Amerika Syarikat (US) dalam masa 10 ke 20 tahun oleh kerana ‘brain power’.
“Sebagai contoh, dalam bidang nuklear ada satu formula yang dipanggil ‘molten salt reactor’ yang dibangunkan pada tahun 60-an oleh US dimana minyak asas Thorium digunakan berbanding Uranium untuk menghasilkan bom namun tidak tercapai.
“Kemudian China selepas beberapa tahun ingin menggunakan teknologi lama, Thorium dengan menghantar 350 pakar sains berbanding US yang menghantar 10 pakar sains pada awal projek pembangunan reaktor.
Menurutnya, kejayaan China dalam membangunkan tenaga nuklear adalah disebabkan dengan pegawai penyelidik, pakar sains, dan jurutera mereka menceburi bidang STEM selain kemajuan dalam teknologi.
Selain itu, Yunus tidak menafikan negara juga mampu melahirkan graduan kedoktoran dan jurutera namun tidak cukup peluang pekerjaan oleh faktor ekonomi dan tempat untuk mengembangkan kerjaya mereka.
“Para pelajar boleh menyambung pendidikan dalam bidang STEM di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan negara boleh melahirkan jurutera dan pakar sains.
“Melahirkan jurutera untuk membangun infrastruktur kita sudah hebat tetapi keperluan jurutera sekarang ini adalah pada peringkat yang lebih tinggi iaitu membangun teknologi seperti pembuatan kereta jenama Proton.
“Negara seharusnya sudah beralih kepada melahirkan jurutera yang membangun teknologi baharu berbanding jurutera pembangunan infrastruktur,” katanya.
Tegas Yunus, negara bakal berdepan risiko bekalan sumber merosot dan tidak mencukupi bagi skim penyelidikan, kejuruteraan, kesihatan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang akan menjejaskan negara untuk membangun teknologi dan inovasi yang boleh melonjakkan daya saing ekonomi negara.
Dalam pada itu, statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tahun 2022 graduan yang bekerja dalam bidang Sains Semulajadi, Matematik dan Statistik setelah menamatkan pengajian adalah seramai 8,326 orang berbanding pada tahun 2021 iaitu seramai 18,145 orang.
Bagi bidang Kejuruteraan, Pembuatan dan Pembinaan pula, statistik menunjukkan peningkatan graduan yang bekerja dalam bidang itu setelah menamatkan pengajian pada tahun 2022 adalah seramai 55,941 berbanding pada tahun 2021 iaitu seramai 51,142.
Tambahnya, kerajaan dan pihak lain juga harus memainkan peranan dengan mewujudkan dasar yang relevan dan pelaksanaan yang berkesan dengan mewujudkan kerjaya yang menarik.
“Kerajaan boleh mengadakan satu kerjasama dengan pihak swasta dalam usaha untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih banyak untuk graduan.
“Selain itu, pihak sekolah dan pengajian tinggi harus melipatgandakan usaha pengajaran dan pembelajaran (PdP) untuk melahirkan graduan cemerlang dalam bidang STEM dengan pendekatan yang praktikal menekankan ilmu asas.
“Para ibu bapa juga tidak terkecuali menggalakkan anak-anak meminati bidang STEM ini,” katanya.
Sementara itu, Yunus berkata, silibus yang ada ketika ini perlu dikaji semula dan penentukuran perlu dilakukan dengan silibus tahun-tahun sebelumnya yang pernah melahirkan graduan berkualiti dalam bidang STEM.
Selain itu, para guru terlatih juga diperlukan bagi melahirkan pakar sains di masa akan datang dengan mengadakan satu program guru pinjaman luar negara dimana para pelajar boleh menimba ilmu daripada guru pinjaman tersebut.
Tambahnya, para pendidik juga tidak seharusnya terlalu mengejar untuk menghabiskan silibus bagi mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di sekolah berbanding memfokuskan kefahaman para pelajar.
Menjawab persoalan berkenaan Revolusi Industri 4.0 (IR), Yunus berpendapat bahawa gelombang inovasi teknologi baharu akan membawa perubahan yang besar kepada sektor pembuatan dan menyebabkan ekonomi yang bergantung kepada tenaga buruh berkos rendah tidak lagi relevan dan menarik.
“IR 4.0 seterusnya mampu menyebabkan penurunan dalam kos automasi dan menyebabkan aktiviti pembuatan kembali kepada negara maju. Jika IR 4.0 berlaku, bekalan rantaian global akan mendatar.
“Oleh itu, sama ada IR 4.0 boleh menjadi jendela kepada peluang adalah bergantung kepada kesediaan ekonomi negara dalam penggunaan teknologi di bawah IR 4.0,” katanya.
Jelasnya, negara secara munasabah adalah lebih kehadapan jika dibandingkan dengan negara lain ekoran negara mahir dalam bidang ICT pembuatan serta keupayaan memanfaatkan teknologi melalui pelbagai inisiatif di bawah IR 4.0.
Malah, terdapat institusi yang berkebolehan secara konsisten mendorong kepada peningkatan infrastruktur penyelidikan dan penyediaan kemahiran yang boleh dimanfaatkan oleh Malaysia bagi melahirkan pakar sains.