KUALA SELANGOR: Seramai 900 jurutera dalam bidang pemasangan kabel gentian optik diperlukan bagi membantu pertumbuhan industri telekomunikasi negara pada masa hadapan.
Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI Selangor), Saipolyazan M. Yusop berkata, bagi tujuan tersebut Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) bekerjasama dengan SRC Global Resources Sdn. Bhd. (SRC Global) bagi melahirkan lebih ramai jurutera pemasangan kabel gentian optik di negara ini.
“Justeru itu, kita hendak mensasarkan untuk melahirkan 900 jurutera dalam bidang ini dalam tempoh beberapa tahun ini bagi membantu industri telekomunikasi negara ini.
“Untuk makluman, STDC mendapat pengiktirafan Telekom Malaysia Berhad (TM), yang mana pelatih jurusan pemasangan kabel gentian optik boleh menduduki ujian bagi kursus ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara STDC dengan SRC Global, semalam.
MoU tersebut ditandatangani Pengurus Pusat Bertauliah STDC, Norzilawati Md. Said dan Ketua Pegawai Eksekutif SRC Global, Datuk Nor Hisham Mohd. Arifin.
Beliau menambah, selain tenaga mahir dalam bidang tersebut, STDC dan SRC Global turut bekerjasama bagi melatih pelajar pusat itu dalam bidang Authorised Gas Tester (AGT) dan solar.
“Mereka yang mendapat latihan ini akan dibantu untuk mendapatkan pekerjaan di syarikat tempatan. Dengan latihan yang diterima pelatih ini, mereka berpeluang besar untuk mendapat pekerjaan yang bergaji sekurang-kurangnya RM1,800 sebulan,” ujarnya.
Sementara itu, Nor Hisham menjelaskan, pelatih untuk pemasangan kabel gentian optik ini akan diberikan latihan sepenuh masa selama 13 hari di STDC dan mendapat tajaan sepenuhnya daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). – UTUSAN