KUALA LUMPUR: Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini bertukar menjadi lautan putih apabila rakyat Malaysia pelbagai latar belakang hadir ke Perhimpunan Malaysia Bersama Palestin.
Di samping sebagai tanda solidariti terhadap kesengsaraan penduduk Palestin yang diserang bertalu-talu oleh Zionis Israel, perhimpunan itu bertujuan mendesak peperangan di Palestin dihentikan segera.
Terdahulu, orang ramai tiba kem stadium berkenaan sejak pukul 6 petang walaupun perhimpunan dijadual bermula pukul 7.30 petang.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati orang ramai memakai baju putih sambil membawa bendera Palestin ke program tersebut.
Selain ribuan rakyat, pemimpin-pemimpin negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir memberikan sokongan.
Perhimpunan itu bermula dengan solat Maghrib disusuli solat hajat dipimpin Imam dan Qari Palestin, Shaykh Rami As-Sousi sebelum diteruskan dengan ucapan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik yang mewakili rakyat Malaysia yang konsisten bersama perjuangan rakyat Palestin.
Kemuncak perhimpunan adalah pidato yang disampaikan Perdana Menteri sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Qunut Nazilah.
Penyanyi Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir dijadual juga berada di pentas perhimpunan tersebut. -UTUSAN