PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur agar peguam Rosli Dahlan dan Chetan Jethwani serta firma guaman menyerahkan beberapa dokumen berkait siasatan penyelesaian antara Goldman Sachs serta kerajaan berkenaan isu bon 1MDB bernilai $AS6.5 bilion.
Memetik laporan portal Free Malaysia Today (FMT), permohonan itu telah difailkan secara berasingan kepada peguam dan firma guaman itu pada minggu lalu.
SPRM menerusi satu surat tuntutan berkata, kedua-dua peguam tersebut enggan membenarkan pegawai-pegawainya menjalankan operasi penyitaan dan serbuan ke atas dokumen di bawah seksyen 31(1) Akta SPRM apabila lawatan dibuat pada 6 Oktober lalu.
Menurut SPRM, kedua-dua peguam itu berpendapat bahawa dokumen-dokumen tersebut adalah komunikasi sulit antara anak guam dan peguam.
Mereka juga mendakwa bahawa SPRM perlu memperoleh perintah Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 46(2) Akta SPRM dibaca bersama dengan Seksyen 126(1) Akta Keterangan untuk mendapatkan dokumen.
Bagaimanapun, SPRM menafikan peruntukan-peruntukan tersebut dalam keadaan kes ini.
Surat tuntutan itu diserahkan kepada peguam dan firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership, serta Chetan & Co, pada Jumaat lalu.
Permohonan SPRM terhadap firma Chetan ditetapkan untuk sebutan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin pada pagi ini manakala terhadap firma Rosli pula ditetapkan untuk sebutan di hadapan Hakim K. Muniandy, esok.
Dalam afidavit berasingan dikemukakan untuk menyokong setiap permohonan, pegawai SPRM Sabri Latif, berkata siasatan agensi tersebut berkait rapat dengan penyelesaian yang dibuat antara kerajaan dan Goldman Sachs berkenaan isu 1MDB.
Katanya, Rosli Dahlan Saravana Partnership dilantik sebagai penasihat guaman kepada 1MDB dan terlibat dalam rundingan yang membawa kepada perjanjian penyelesaian yang didakwa dijalin dengan Goldman Sachs pada 18 Ogos 2020.
Tambahnya, Chetan & Co juga adalah peguam bagi Goldman Sachs.
Sebelum ini, firma guaman, Rosli Dahlan Saravana (RDS) mengesahkan, tiada sebarang dokumen milik anak guam dirampas menerusi serbuan SPRM.
Rakan-rakan kongsi firma guaman itu dalam kenyataan menegaskan, pejabat firma guaman tidak boleh dicabuli termasuk kerahsiaan dokumen anak guam yang terlindung di sisi undang-undang
Terdahulu, Rosli yang juga peguam peribadi kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa bahawa SPRM menyerbu firma guamannya pukul 10.30 pagi, 6 Oktober lalu.
Katanya, seramai 12 pegawai SPRM menyerbu firma guaman RDS yang menuntut kuasa penyiasatan untuk mengakses seluruh pejabatnya. – UTUSAN