PUTRAJAYA: Memorandum persefahaman (MoU) telah dimeterai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Enforcement, Leadership & Management University (ELMU) sebagai langkah memperkasa kerjasama sedia terjalin antara kedua-dua pihak.
Memorandum persefahaman ini telah ditandatangani oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Naib Canselor ELMU, Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed ketika sesi pertemuan diadakan di Pejabat Ketua Pesuruhjaya SPRM, di Ibu Pejabat SPRM semalam.
Menerusi MoU ini, SPRM dan ELMU bersetuju untuk mengadakan kerjasama dalam bidang akademik serta perkongsian pengetahuan sekali gus dapat memberi manfaat dalam aspek penguatkuasaan dan pencegahan rasuah.
MoU ini juga membolehkan SPRM dan ELMU meneroka pelbagai bentuk kerjasama dalam membangun modul latihan bersesuaian membabitkan kepakaran kedua-dua pihak dalam bidang tertentu.
Selain membolehkan pegawai SPRM dan pelatih Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) melengkapkan program di ELMU dalam pelbagai peringkat seperti Diploma, Ijazah, Sarjana dan Kedoktoran (PhD).
Turut hadir Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Datuk Idris Zaharudin dan Pro-Canselor ELMU, Datuk Dr. Husaini Omar, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif ELMU, Datuk Hairul Ridza Hayata dan PPj Pang Mai Teck.
Untuk rekod, ELMU merupakan universiti pertama di Malaysia yang memberi program akademik meliputi semua peringkat Asas (foundation) hinggalah ke peringkat Ph.D. serta kursus dan latihan dalam bidang penguat kuasaan, kepimpinan dan pengurusan.
ELMU telah menerima kelulusan untuk penubuhan universiti daripada Kementerian Pendidikan Tinggi berkuatkuasa pada 8 Februari 2022 dan dijangkakan pengambilan kumpulan pertama pelajar adalah pada bulan Mac 2024. – UTUSAN