MELAKA: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Batu Berendam di sini, yang mengalami kerosakan hampir keseluruhan di tujuh blok akibat dibadai angin kuat pada Sabtu lalu, memerlukan kos sebanyak RM3 juta untuk baik pulih.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, Kementerian Pendidikan telah menyalurkan bantuan segera berjumlah RM100,000 untuk pelaksanaan kerja-kerja pembersihan.
Jelasnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) menjangkakan proses baik pulih bakal memakan masa enam bulan untuk disiapkan.
“Kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap bencana ribut yang menimpa sekolah pelajar teramai di Melaka berjumlah kira-kira 2,000 orang ini.
“Saya dimaklumkan oleh JKR, proses baik pulih mengambil masa selama enam bulan melibatkan jumlah peruntukan keseluruhan dianggarkan RM3 juta,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di sekolah berkenaan, hari ini.
Dalam kejadian pukul 2.40 petang Sabtu lalu, hampir keseluruhan tujuh blok sekolah itu mengalami kerosakan dibadai angin kuat yang dikatakan seperti puting beliung.
Paling teruk apabila kesemua bumbung di blok C yang menempatkan lapan kelas, satu bilik guru dan pejabat tercabut sehingga menampakkan rangka kayu siling.
Berikutan bencana itu, persediaan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini turut terjejas, kerana kelas yang sepatutnya digunakan mengalami kerosakan. – UTUSAN