Skuad Sokongan Krisis bantu pelajar universiti tangani isu kesihatan mental

Skuad Sokongan Krisis bantu pelajar universiti tangani isu kesihatan mental

AZLINDA Azman ketika majlis Pelancaran CSS MAKUMA pada perasmian Seminar Psikologi Kaunseling IPT di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lebih 1,000 pelajar daripada 20 universiti awam akan dilantik bagi menyertai Skuad Sokongan Krisis (CSS) bagi emperkukuhkan lagi sistem sokongan psikososial.

CSS yang dibentuk oleh Majlis Kaunseling Universiti Awam (MAKUMA) itu turut berfungsi mengatasi isu kesihatan mental di peringkat universiti awam.

Majlis pelancaran CSS disempurnakan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT), Prof. Dr. Azlinda Azman sempena penganjuran Seminar Psikologi Kaunseling Institusi Pendidikan Tinggi Peringkat Kebangsaan 2023, di sini hari ini.

Azlinda dalam ucapannya berkata, CSS akan dianggotai barisan Pembimbing Rakan Siswa Kebangsaan (PRSK) yang sedia ada di setiap universiti awam.

Menurutnya, mereka (CCS) akan dibekalkan dengan modul-modul dan latihan berkaitan kesihatan mental yang diselia sepenuhnya oleh pihak MAKUMA.

“CSS yang terlatih melalui pembelajaran modul-modul dan latihan berkaitan psikososial akan berperanan menjadi kumpulan sokongan sosial di setiap universiti dan komuniti.

“Mereka adalah barisan hadapan bagi membantu MAKUMA sebagai kumpulan sokongan dan pendengar yang baik dalam khidmat menolong,” katanya.

Katanya, antara cabaran kaunselor dalam mendepani isu kesihatan mental dalam kalangan mahasiswa ialah terdapatnya stigma yang tinggi apabila ramai masih malu untuk mengaku mereka menghadapi masalah kesihatan mental.

Malah, katanya, mereka cuba menyembunyikannya dan hal ini mungkin disebabkan kurang pengetahuan mengenai kesihatan mental.

Katanya, berdasarkan laporan kajian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), isu-isu atau masalah kesihatan mental adalah antara isu utama kesihatan awam terutamanya selepas pandemik Covid-19.

“Masalah kesihatan mental menunjukkan trend peningkatan yang agak membimbangkan sehingga menjejaskan kesejahteraan fizikal, emosi dan sosial seseorang individu,” katanya.

Seminar julung kali itu disertai seramai 200 kaunselor berdaftar dan pengamal perkhidmatan kaunseling di semua Institusi Pengajian Tinggi termasuk Politeknik, Kolej Komuniti dan IPT Swasta.

Program anjuran MAKUMA dan KPT itu bertujuan memperkasa peranan kaunselor dan pegawai psikologi menerusi perkongsian kepakaran dan pengalaman secara lebih holistik selain persediaan mendepani cabaran masalah mahasiswa masa kini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya