SHAH ALAM: Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 20 muncul juara dalam perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Raja Muda Selangor Edisi Ke-34 menewaskan SK Taman Alam Megah 2-0, hari ini.
Selaku juara, SK Seksyen 20 membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000 berserta piala sementara naib juara pula menerima hadiah RM3,000 dan kedua-dua pasukan diberikan pingat serta sijil penyertaan yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perangsang Selangor (KPS), Suzila Khairuddin.
Sementara itu, tempat ketiga pula dimenangi SK Puchong selepas menewaskan SK Seri Selangor 1-0 dalam penentuan kedudukan tersebut dan masing-masing membawa pulang hadiah RM2,000 dan RM1,000 berserta pingat dan sijil penyertaan.
Terdahulu, dalam perlawanan penentuan juara, SK Seksyen 20 menerusi pemain kirinya, Muhammad Nazhaizal Qusyairi Muhamad Nazeri yang mencetak gol pertama 22 minit selepas wisel perlawanan ditiup.
Kemudian, pemain kanan, Afif Ikhwan Muhamad Zuhdi yang menyarung jersi bernombor lima memastikan kedudukan selesa bagi pasukannya dengan menyumbang gol kedua selepas tujuh minit perlawanan separuh masa kedua bermula.
Pemain hadapan, Muhammad Lukmanul Hakim Zolkarnain kemudian cuba membawa pasukannya lebih jauh menerusi jaringan ketiga, namun dibatalkan apabila dia berada pada kedudukan offside.
Kedudukan perlawanan itu kekal sehingga wisel penamat ditiup selepas pemain diberi lima minit masa tambahan.
Kejohanan Bola Sepak Piala Raja Muda Selangor Edisi Ke-34 menyaksikan penyertaan 32 pasukan dari sekolah-sekolah di bawah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling Perdana dan Petaling Utama bermula pada 11 September lalu.
Pertandingan edisi ke-34 itu melibatkan 640 pemain berusia bawah 12 tahun yang berlangsung secara liga dengan dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan layak ke pusingan kalah mati (16 terbaik) sebelum ke suku akhir, separuh akhir dan akhir.
KPS sekali lagi menjadi penaja utama kejohanan itu sejak 2013 dengan nilai tajaan sebanyak RM100,000. – UTUSAN