Sitism: Hilangnya pop kemelayuan dalam ilham futuristik? - Utusan Malaysia

Sitism: Hilangnya pop kemelayuan dalam ilham futuristik?

siti nurhaliza
SITI NURHALIZA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI era 90-an dan 2000-an, banyak lagu pop balada Melayu sarat dengan bait-bait lirik puitis dan penuh makna. Datuk Seri Siti Nurhaliza, antara biduanita menyajikan naskhah pop yang mengangkat martabat bahasa Melayu di kelasnya tersendiri.

Jerat Percintaan, Azimat Cinta dan Wajah Kekasih antara karya agung diperdengarkan ketika itu. Lagu-lagunya malar segar hingga ke hari ini.

Pastinya, Allahyarham Adnan Abu Hassan antara pendorong yang membentuk kualiti, keadaan dan ideologi Siti-ism sejak awal, sebelum Siti berguru dengan maestro muzik, Aubrey Suwito. Ajai dan Azmeer juga antara penerbit dan komposer yang telah melonjakkan nama Siti menerusi beberapa lagu di dalam album pop, yang beredar dua dekad lalu, seperti Percayalah, Kau Kekasihku, Nian Di Hati dan Purnama Merindu.

Apabila kita cuba selami mesej disampaikan di dalam lagu, betapa indah bahasa Melayu itu jika dikarang dari lubuk hati yang terdalam. Lihat bagaimana Saari Amri melahirkan seorang bintang pop, Ziana Zain menerusi lagu Madah Berhelah dan Kemelut Di Muara Kasih.

Namun, masa tidak boleh diputar kembali. Muzik pop Melayu terus berevolusi. Sebab itu, ketika Siti menerbitkan album Hadiah Daripada Hati (2006) dan Transkripsi (2007), kedua-duanya saya anggap sebagai satu lagi benchmark mengangkat karya pop moden, bereksperimentasi, namun masih mengekalkan ciri kemelayuan.

Cuba fahami mesej disampaikan menerusi lagu Hati, Melawan Kesepian, Bisakah, Tanpa Dendam Di Hati dan Cuba Untuk Mengerti di dalam dua album itu.

Sama juga dengan Fragmen (2014) dan SimetriSiti (2017), ia dibaluti lagu-lagu sentimental seperti Terbaik Bagimu, Sanubari, Lebih Indah, Jaga Dia Untukku, Segala Perasaan, Kisah Ku Inginkan dan Kau Takdirku.

Namun, setelah hadirnya ManifestaSiti2020 dan yang terbaru Sitism (2023), saya masih mencari ciri khas yang mungkin meneruskan trademark Siti di dalam album sebelumnya.

Maksud saya, bagaimana Sitism sudah tidak lagi bermain dengan laras bahasa yang benar-benar mengangkat ciri kemelayuan. Baik dari segi metafora, hiperbola, personafikasi dan teknik penceritaannya.

Jika tidak pun menandingi laras bahasa di era 90-an, sekurang-kurangnya ia terhasil dengan cara yang begitu menyentuh jiwa. Lihat bagaimana lagu Teratas (Tomok/Fedtri Yahya).

Baitnya berbunyi: “Aku cinta kepadamu, lebih dari kau tahu, teratas dan terindah, semoga akhirnya abadi di sana, abadi di sana cinta.” Lagu ini bukan tidak bagus, cuma, liriknya terlalu klise.

Melodi dihasilkan secara berlebih-lebihan, apabila Tomok menambah bunyi ala skor filem di awal permulaan lagu.

Jika anda melewati bait-bait lirik lagu Saari Amri seperti Pelamin Anganku Musnah (Azie), Hajat (Haida), Ditakdir Kita Bersama (Mac Ruhayu), anda boleh lihat bagaimana ia ditulis secara berstruktur, penuh penceritaan dan tidak berulang.

Dalam Sitism, selain Menjaga Cintamu (Andi Rianto/Sekar Ayu Asmara) dan Sehebat Matahari (Aubrey Suwito/Rozisangdewi), mujur, Romansa Kita (Sharon Paul/ Rozisangdewi), terhasil dengan begitu kemas.

Saya tertarik apabila Rozi menulis di bahagian korus berbunyi “di sini ku berlagu, dan bahasa sukmaku, mengharap nanti kau fahami” dan di bahagian bridge menyaksikan suara latar bersahutan menyebut “semesta kan menjawabnya”. Itulah ciri khas dimiliki Sharon.

Ada momen-momen di dalam lagu-lagunya. Apabila anda mendengar karya-karya Sharon seperti Sampai Bila (Misha Omar), Terlalu Memuja (Wany Hasrita), Pernah Bahagia (Sharifah Zarina), Memoir Rindu (Asmidar) dan Tiada (Liza Hanim), anda tahu kenapa.

Pujian harus diberi kepada semua yang menjayakan Sitism. Baik dari segi susunan muzik, kualiti bunyi, tona warna, rekaan, pembungkusan dan sebagainya. 12 lagu Sitism terhasil dalam keadaan yang benar-benar mengikat pendengar dari segenap lingkungan usia.

Seperti Romansa Kita, Magis (Mas Dewangga/Jova Devito/ Aden King), Ku Sedari (Cha’an/Habsah Hassan) dan Menyapa Dunia (Melly Goeslaw/ Aubrey Suwito) terhasil cukup grand dan relevan.

Saya mengagumi bagaimana trek lagu di dalam Sitism disusun penuh tertib, yang menjawab kepada unsur futuristik itu. Tetapi, adakah dengan menggarap elemen futuristik harus mengorbankan kreativiti di dalam penulisannya?

Atau penulis generasi kini sudah tidak dapat menelaah nilainilai sastera Melayu yang tidak semestinya menggunakan bahasa lama dan klasik? Sitism, dahagakan penulis yang benar-benar menguasai laras bahasa lagu sebenar.

Namun, ia tidak dicerminkan di dalam Nadi (Genervie Kam/ Mim Hamzah/Illi Diyana), Senyawa (Farouk Roman/ Senna), Tanpa Diri-Mu (Luca Sickta) dan Ganti (Mingaling/ Nuha Nik/Amir Hasan). Tiada kepelbagaian dalam kosa katanya.

Kini, kita sudah kekurangan pelapis yang benar-benar serius bermain dengan bahasa. Andai penulis kita hanya mampu menulis untuk set-set lagu seperti Aiman Tino, Tajul atau Fieya Julia, atas alasan demand pendengar seperti itu, maka, kita harus bersedia menerima hakikat satu hari nanti, tiada lagi percikan dalam penulisan lirik lagu-lagu pop Melayu.

Di awal pengetahuan yang Siti akan merakamkan lagu bersama Datuk Awie di dalam Sitism, ekspektasi saya gabungan dua vokalis ini akan menyambung hits pop Kisah Ku Inginkan (duet bersama Judika), atau Seluruh Cinta (Cakra Khan).

Saya membayangkan mereka merakamkan semula lagu Ratuku (nyanyian asal Awie) dalam rendisi Siti Nurhaliza Concert: Music of the Soul yang gilang-gemilang itu. Namun, Kalau Berkasih (Glowrush/Tam Cobain/Mike Chan) terhasil dalam bentuk traditional fusion, yang bagi saya, “perlukah?”.

Saya tidak bermaksud Siti perlu kembali kepada formula 28 tahun lalu dengan ilham yang galau dan merintih-rintih. Saya tidak juga meminta Siti mengikut jejak langkah Saari Amri atau Allahyarham Adnan.

Tetapi, sebaiknya dua gura itu menjadi panduan dan inspirasi dalam Siti bermuzik. Pada masa sama tetap memberi peluang pemuzik muda berkarya dalam acuan tersendiri.

Saya melihat ‘-ism’ di dalam Siti Nurhaliza begitu: yang futuristik, tidak terlalu hibrid dan mengekalkan ciri pop Melayu dari penyampaian makna dan alunannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya