Sindiket seludup rokok dikesan guna lori tertutup  - Utusan Malaysia

Sindiket seludup rokok dikesan guna lori tertutup 

MOHD. Nadzri Ariffin (dua, kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas di Pejabat Kastam Kuala Kemaman, Kemaman, hari ini. - NIK NUR  IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu mengesan modus operandi terbaharu sindiket penyeludupan rokok yang menggunakan lori bertutup bagi mengaburi mata pihak berkuasa. 

Pengarahnya, Mohd. Nadzri Ariffin berkata, taktik tersebut terbongkar selepas pihaknya berjaya membuat rampasan terbesar tahun ini dengan penahanan sebuah lori di sebuah stesen minyak di Yong Peng, Johor pada 29 September lalu. 

Menurutnya, hasil penahanan lori tersebut, pihaknya berjaya merampas sebanyak 2.1 juta batang rokok yang bernilai RM273,000 dengan nilai anggaran cukai lebih RM1.4 juta.

“Kita telah mengekori lori terbabit dari kawasan Ajil, Hulu Terengganu selepas mendapat maklumat daripada orang awam,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Mohd. Nadzri berkata, pihaknya turut mengesan sindiket penyeludupan rokok itu bergerak pada waktu puncak ketika banyak kenderaan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. 

“Sebelum ini, kita kesan lori-lori ini akan bergerak aktif pada awal pagi, namun mereka telah menukar modus operandi menggunakan waktu puncak iaitu bermula 12 tengah hari hingga petang. 

“Sindiket penyeludupan rokok ini juga menggunakan jalan persekutuan lama iaitu Jalan Jerangau-Jabor dan Lebuhraya Pantai Timur 2 sebagai laluan mereka untuk ke Selatan Tanah Air,” katanya 

Mohd. Nadzri berkata, justeru itu, pihaknya akan mempertingkatkan operasi di kedua-dua laluan itu bagi membanteras aktiviti tersebut.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya berjaya mencatatkan jumlah rampasan sebanyak RM15.47 juta sepanjang tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Menurutnya, rampasan tersebut melibatkan pelbagai jenis barangan seludup termasuk rokok, beras, mercun, kenderaan dan minyak diesel dengan nilai cukai keseluruhan hampir RM1.5 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya