SUNGAI SIPUT: Kementerian Dalam Negeri akan melengkapkan notis merah Interpol bagi siasatan terhadap menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu akan dilakukan apabila beliau sendiri akan berjumpa dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Katanya, perjumpaan itu antara lain adalah untuk melakukan penyelarasan antara SPRM dan pihak KDN bagi melengkapkan keperluan memohon notis merah Interpol.
“Lusa, pada hari Isnin saya akan mengadakan pertemuan dengan Azam untuk memberi jaminan bahawa kerjasama KDN khususnya di bawah urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kita perlu beberapa persiapan misalnya siasatan di bawah apa. Kita kena nyatakan dalam notis untuk kita mohon notis merah itu. Pertuduhan di bawah apa dan sebagainya itu kita kena lengkapkan dulu,” katanya.
Beliau berkata demikian katanya kepada pemberita semasa hadir ke Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) di Pos Kuala Mu, Sungai Siput hari ini.
Dilaporkan menantu Muhyiddin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, 48, dan peguam, Mansoor Saat, 69, dikehendaki tampil ke SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.
Bagaimanapun dikatakan hasil semakan dengan Jabatan Imigresen mendapati kedua-dua individu terbabit meninggalkan Malaysia pada Mei lalu, dan tiada rekod masuk kembali ke negara ini.
Dilaporkan juga, deraf pertuduhan antara dokumen yang diperlukan Interpol sebelum notis merah dapat dikeluarkan terhadap kedua-dua individu tersebut. – UTUSAN