PARIT: Peniaga di Pusat Dagangan Seri Iskandar (SIBC) di sini resah memikirkan masa depan perniagaan mereka berikutan bilangan pelanggan yang semakin kurang.
Mereka dalam kalangan peniaga karpet, kelengkapan perkahwinan dan perabot berkata, kekurangan pelanggan yang semakin ketara itu dipengaruhi peningkatan pembelian dalam talian dan pelanggan mahu berjimat.
Peniaga berkata, sebelum ini pusat perniagaan mirip pusat jualan borong di Nilai 3, Negeri Sembilan itu menjadi tumpuan dalam dan luar Perak.
Pemilik perniagaan kelengkapan perkahwinan di SIBC, Steven Lee, 55, berkata, dia memulakan perniagaan di situ sejak 2013 dan menarik pelanggan menerusi jualan bunga hiasan, kain langsir, hiasan rumah dan kelengkapan perkahwinan.
Katanya, ketika itu jumlah pelanggan agak ramai terutama pada hujung minggu.
“Tapi sekarang kedatangan pelanggan sudah kurang, saya difahamkan pelanggan kini beralih kepada pembelian secara dalam talian.
“Ia dikatakan lebih murah dan pelanggan boleh dapat barangan yang dipesan terus sampai ke rumah, tak perlu ke kedai yang memakan masa dan kos,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Menurutnya, berikutan keadaan itu, dia terpaksa menjimatkan kos dengan mengurangkan jumlah pekerja daripada 17 orang kepada tujuh pekerja.
“Tahun ini saya dapat rasakan perniagaan semakin perlahan, susah nak tengok pelanggan datang membeli kelengkapan perkahwinan, kalau hujung minggu pun pelanggan kurang,” katanya.
Peniaga perabot dan karpet yang enggan namanya didedahkan berkata, dia tidak pasti berapa lama boleh bertahan berikutan kekurangan pelanggan.
Katanya, dia berusaha menarik pelanggan dengan mengadakan jualan murah namun sambutan tetap dingin.
“Kalau ada yang datang pun hanya tengok-tengok sahaja. Perabot saya jual murah pun tidak ada yang nak beli,” katanya. – UTUSAN