ARAU: Urusan bekal benih padi patut diserah kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi atasi masalah kelewatan dan kualiti input yang membelenggu pesawah lebih 10 tahun lalu.
Penyaluran bekalan benih padi kepada banyak pihak dilihat tidak lagi efisien kerana ia lebih buka ruang kepada isu kartel atau orang tengah menguasai pasaran benih berkenaan, sekali gus tercetus masalah kenaikan harga, kualiti dan kelewatan input setiap kali tiba musim penanaman padi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, kelewatan bekalan dan kualiti benih padi bukan perkara baharu, malah sudah berlarutan lebih 10 tahun dengan setiap musim masalah sama berulang.
Katanya, sudah tiba masanya kerajaan melihat keperluan dalam soal pembekalan benih padi ini dengan memberi tanggungjawab tersebut kepada satu pihak sahaja iaitu MARDI yang selama ini sudah berbukti menghasilkan benih-benih yang berkualiti.
Katanya, soal benih itu sebenarnya sangat mudah dimanipulasi orang tengah yang mengawal pasaran selain ada bekalan yang tidak berkualiti.
“Saya cadang bagi satu pihak sahaja urus berkaitan pembekalan benih padi ini sama ada MARDI atau sekurang-kurangnya kepada Jabatan Pertanian. MARDI dilihat paling sesuai menguruskan benih kerana mereka juga menghasilkan benih berkualiti.
“Malah, ia juga di bawah kerajaan yang jika berlaku apa-apa isu mudah untuk mencari kata putus tanpa perlu melibatkan banyak pihak. Ini perlu dilaksana jika tidak perkara sama terus berulang,” katanya.
Tambah Mohd Shazwan, sehebat mana perkembangan teknologi atau penyelidikan berkaitan padi sekali pun tidak akan berupaya meningkatkan hasil padi jika masalah asas seperti kelewatan, kualiti benih dan soal infrastruktur berkaitan saliran tidak diselesaikan.
Malah katanya, Malaysia juga sudah jauh ketinggalan dari segi penanaman dan penghasilan padi berbanding negara-negara lain seperti Vietnam, Thailand, Filipina dan banyak lagi yang antaranya sudah menjadi negara pengeksport sedangkan negara masih bergantung kepada import makanan ruji itu sekitar 35 peratus.
Katanya, dahulu lewat 1990-an, pesawah mampu hasilkan padi sekitar 10 tan metrik perhektar namun kebelakangan ini hanya tinggal antara empat ke lima tan metrik.
Dia bimbang jika masalah sama terus berulang, akhirnya para pesawah akan mula merasa muak untuk mengusahakan tanaman padi yang dilihat bukan lagi menguntungkan.
“Tukarlah berapa menteri sekali pun, kajian apa sekali pun masalah sama berkaitan perkara asas seperti benih, saliran, baja dan sebagainya itu tetap berulang. Setiap musim hasil tidak meningkat, sebaliknya menunjukkan penurunan.
“Selain itu. kos input pertanian juga terus menunjukkan peningkatan termasuk terbaharu membabitkan harga benih padi ini. Kita dalam usaha ke arah penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun bagi membantu meningkatkan hasil beras negara, dalam keadaan seperti ini, bagaimana hendak dilaksanakan.
“Bukan masalah pesawah lagi jika hasil tidak meningkat meskipun terus berusaha dengan pelbagai kaedah, tetapi masalah asas ini yang terus berlarutan. Sepatutnya hasil kita semakin baik daripada 10 tan metrik hasil dahulu bukannya semakin lama semakin menurun,” katanya.
Selain itu, katanya, masalah saliran juga masih berada pada tahap teruk yang bakal memberi kesan kepada proses tanaman padi.
“Saliran adalah antara perkara paling penting dalam proses tanaman padi ini. Jika saliran atau pengairan teruk maka terjadilah seperti masalah kelewatan tanaman dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad berkata, Perlis memerlukan peruntukan lebih RM223 juta untuk menyelesaikan isu pengairan seluruh kawasan penanaman padi di negeri ini membabitkan keluasan pengairan 9105.60 hektar.
Katanya, pada masa ini, sebanyak RM39.8 juta telah diperuntukan bagi melaksanakan projek pembangunan sistem pengairan di empat blok pengairan terlibat.
“Perlis memerlukan lebih RM223 juta lagi yang masih dalam perancangan bagi melaksanakan lagi projek pembangunan sistem pengairan di 10 blok kawasan pengairan sawah padi di seluruh negeri ini.
“Sistem perairan tersebut bakal menyediakan rangkaian infrastruktur sistem pengairan yang lebih cekap dan efisyen dalam usaha meningkatkan pengeluaran padi,” katanya. – UTUSAN