Semakin tinggi, semakin hebatkah Aina Abdul? - Utusan Malaysia

Semakin tinggi, semakin hebatkah Aina Abdul?

aina abdul
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jangan Mati Rasa itu (JMRI) beredar sebagai single yang dirilis lebih awal sebelum kemunculan album debut Aina Abdul yang memuatkan 14 runut lagu berjudul Imaji, Rabu lalu.

Lagu ini juga mengambil masa kira-kira dua bulan untuk diperdengar di semua platform digital penstriman muzik, yang saya kira cukup untuk pendengar menilai ke mana hala tujunya selepas ini.

Seperti mana saya pernah memuji Semalam, Sepi dan Terus Hidup yang terhasil sempurna, maka, ekspektasi saya semakin tinggi terhadap banyak lagi naskhah yang akan diberi Aina selepas ini.

Entah mengapa, saya tidak teruja kali ini setelah mendengarkan lagu yang diterbitkan Aina bersama Mac Chew ini. Terus terang, JMRI hanyalah sekadar pembuktian Aina untuk semua orang tahu dia mampu menyanyikan lagu-lagu bernada tinggi.

Sedangkan, beban bukti itu sudah terdapat di dalam ketiga-tiga lagu berkenaan. Aina malah membuktikannya di beberapa siri konsert Anugerah Juara Lagu (AJL) sebelum ini. Jadi, adakah kita perlukan lagi Semalam 2.0; Sepi 2.0 atau Terus Hidup 2.0?

Fokus saya mula terganggu selepas 46 saat pertama, bermula di rangkap ‘bagaimana, harus ku jalani, tanpa kamu’, yang mana julat suaranya terus meninggi dan di selang masa 2.06; 2.45; 2.55; 3.08; 3.15 dan 3.22 saat.

Saya bercakap dengan komposer dan penerbit lagu terkenal, Julfekar. Dia mengakui bahawa JMRI terlalu tinggi, bingit dan perlu diturunkan satu key supaya kedengaran lebih ‘sedap’.

Saya faham, Aina mahu menggambarkan kesedihannya, namun, sihatkah nyanyian seperti ini apatah lagi jika Aina berentap di AJL yang kemungkinan besar akan menjeratnya?

Seandainya dia berbangga cara seperti itu, hakikatnya, strategi sebeginilah yang ‘membunuh’ Marsha Milan menerusi Kembali Terang di AJL37, malah Salma Asis (Akhirnya Cinta) dan Ara Johari (Warkah Untukku) juga melakukan perkara sama di AJL32.

Kita mesti memecahkan stigma, jika seseorang penyanyi yang boleh menyanyi lagu bernada tinggi, maka dianggaplah ‘hebat’. Masalahnya, penyanyi Malaysia kita (tidak semua), terlalu taasub dengan taktik seperti ini.

Cuba anda dengarkan lagu hits Cinta nyanyian Marsha di AJL36, bukankah dia juga bergelut menyanyikannya kerana key nya juga terlalu tinggi?

Sudah tentu Marsha penyanyi yang bagus, namun, konduktor muzik dan penggubah lagu, Datuk Mokhzani Ismail pernah mengkritik Kembali Terang.

Apabila terlalu banyak jeritan, cara seperti itu boleh menjadi perangkap dan mengganggu keselesaan penyanyi. Jeritan Aina pula membuatkan saya tidak merasai groove yang sepatutnya, kerana terlalu marahnya dia menyanyikan JMRI.

Saya bukan menidakkan mana-mana bahagian notasi aras tinggi, cuma, apakah ia harus dilakukan secara berlebih-lebihan? Aina, tidak perlu menjadi seperti burung yang memiliki frekuensi suara tinggi.

Dia hanya perlu menjadi seorang penyanyi yang benar-benar memaknai sebuah lagu, tanpa ada nyanyian yang merosakkan feel pendengar dengan belting tidak berkesudahan.

LIRIK

Aina, menyempitkan lagi ruang kreativiti penulisan, dengan meletakkan pengulangan sebanyak lima kali di bahagian korus, hingga membuatkan saya bosan. Pengulangan itu hanya dibezakan dengan turun naik melodinya tanpa ada pengembangan. Ini boleh diperhati di rangkap:

“Bagaimana harus ku jalani tanpa kamu? Salahku kerna terbiasa ada kamu, apakah aku bisa melawan takdir kita? Aku hanya manusia biasa.”

Alunan JMRI juga terputus-putus (choppy) dan longgar di bahagian tertentu, berbunyi: “Ja-ngan mati ra-sa i-tu, Ba-gai-ma-na ha-rus ku ja-lani tanpa kamu?”.

Haqiem Rusli juga ada attitude seperti ini di dalam lagu Selamat Tinggal Sayang. Memang dalam keadaan tertentu ia dibolehkan, cuma, lagu yang terhasil baik itu apabila dinyanyikan secara rapat tanpa ada ruang pemisah dalam sebutan sesuatu frasa, meskipun ia bersifat mellow.

Saya semakin keliru di rangkap “dingin hatimu berlalu pergi, getir jiwa tak siapa tahu, hanya dia yang setia, jangan hilang rasa itu”. Ada kontradiksi dan pertikaian tentang siapa ‘dia’ dalam rangkap ini.

Aina bercerita mengenai dinginnya ‘dia’ sehingga pergi meninggalkan, pada masa sama bercerita pula tentang kesetiaan ‘dia’ dan mengharap ‘perasaan’ itu supaya tidak hilang.

Jika ini yang dianggap metafora atau ada unsur sastera lain di dalamnya, penceritaan Aina harus lebih jelas dan tidak semudah itu menggunakan sesuatu perkataan demi mencantikkan baris-baris lirik dan bunyinya.

Aina sejujurnya telah membuka satu dimensi baharu dengan membawa ilham pop balada yang tidak terpuruk dalam templat jiwang karat lewat tahun 90-an dan 2000-an.

Meskipun Aina dikenali bukan di usia muda, namun, dia benar-benar menggunakan peluang untuk menyinar. Berilah 1,000 dinar sekalipun, kilauannya tidak akan dapat mengalahkan sinar dimiliki penyanyi Vokalis of The World, World Championship of Performing Arts (WCOPA) @ Los Angeles, A.S ini.

Tiada juga yang mempertikai kemerduan dan kesyahduan vokal Aina. Hanya apabila dia meletakkan ketinggian notasi itu bukan di tempat sesuai, dengan lirik yang tidak jelas mesejnya, mewajarkan kekecewaan saya terhadap lagu ini.

Andai benar JMRI ini ditandai sebagai teraju di dalam Imaji, dia harus sedar, JMRI hanyalah lagu tipikal Melayu merintih jerit tanpa ada pembezaan. Lagu ini juga hakikatnya perlu berjuang lebih lagi mengatasi populariti single-single terdahulu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya