SABAK BERNAM: Kementerian Ekonomi akan menggunakan data dan statistik pertanian negara dalam merancang dasar dan polisi berhubung keutamaan bekalan makanan di negara ini.
Ini selepas perbelanjaan import negara bagi makanan mencecah sehingga RM40 bilion meskipun negara mempunyai tanah yang subur bagi pertanian.
Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron berkata, pengumpulan data berkaitan pertanian ini penting dalam memberikan maklumat dan gambaran terbaik berkenaan keadaan terkini bidang pertanian di Malaysia.
Justeru katanya, semua pihak di peringkat negeri diharap memberikan kerjasama penuh kepada Jabatan Perangkaan yang akan melaksanakan bancian pertanian pada tahun depan.
“Kita akan memfokuskan semua bidang pertanian dan tidak akan meninggalkan mana-mana negeri dalam soal banci ini.
“(Responden) kita akan usahakan sebanyak mungkin bagi membolehkan data kita kumpul itu adalah berasaskan atau bertepatan dengan keadaan pertanian di negara kita.
“RM40 billion belanja untuk import makanan. Sabak Bernam contohnya tanahnya subur, kenapa perlu import,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Terdahulu, beliau merasmikan sambutan ‘Yuk Mampir’ Hari Statistik Negara (HSN) 2023 yang turut dihadiri Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin di Stadium Sungai Besar di sini.
Lebih 20,000 termasuk pegawai bancian sambilan akan terlibat dalam proses pengumpulan data pertanian itu dan dapatan awal hasil bancian itu akan diumumkan selewat-lewatnya akhir Mac 2025.
Nor Azmie memberitahu, data dan statistik sangat penting dan dianggap sebagai ’emas’ baharu kepada negara.
“Sambutan HSN adalah satu manifestasi bahawa negara kita ini sangat menghargai data dan statistik dan perlu diuruskan dengan baik.
“Ini supaya ’emas’ yang kita ada ini dapat digunakan sebaiknya untuk kepentingan negara secara keseluruhannya,” jelasnya.
Sementara itu, Mohd. Uzir berkata, Jabatan Perangkaan (DOSM) telah menerbitkan 1,180 penerbitan melibatkan 954 penerbitan tahunan, bulanan (172) dan suku tahunan (54).
“Dalam usaha DOSM untuk merakyatkan statistik, pelbagai dashboard dengan visualisasi interaktif dan mesra pengguna telah dibangunkan seperti Dashboard Kawasanku, Consumer Prices dan Labour Markets,” ujarnya.
HSN yang berlangsung selama tiga hari menyediakan pelbagai program termasuk pertandingan debat statistik antara Institusi Pendidikan Tinggi, kuiz statistik, larian D’ Bendang dan permainan sukan rakyat di sawah serta pertandingan bola sepak bawah 10 tahun dan 12 tahun Piala Ketua Perangkawan Malaysia. – UTUSAN