Seleweng minyak masak subsidi, premis di Pelabuhan Klang diserbu

Seleweng minyak masak bersubsidi, premis di Pelabuhan Klang diserbu

MINYAK masak paket 1kg dipotong dan dipindahkan ke dalam tangki serta dibotolkan semula sebelum dijual dalam serbuan di sebuah premis di Pelabuhan Klang. - GAMBAR IHSAN KPDN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi menerusi satu serbuan di sebuah premis tanpa nama di Taman Pandamaran Permai, Pelabuhan Klang, Selangor, semalam.

Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, susulan serbuan itu, pihaknya menemukan lapan buah tong jenis IBC (Intermediate Bulk Container) yang mengandungi minyak masak dan 250 kotak minyak masak paket 1 kilogram (kg) bersubsidi jenama Cap SR Hijauan dan Cap Kebarung.

“Kesemua minyak masak berjumlah 11,050 kg serta beberapa peralatan digunakan seperti pam penyedut minyak, hos getah, pelantar besi, gunting dan beberapa dokumen perniagaan lain disita bagi tujuan siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM43,545,”’katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Armizan berkata, KPDN percaya modus operandi sindiket itu adalah dengan membeli minyak masak paket 1kg bersubsidi dan disimpan di stor berkenaan.

Katanya, minyak masak paket 1kg berkenaan seterusnya akan dipotong dan dipindahkan ke dalam tangki IBC serta dibotolkan semula sebelum dijual mengikut harga terkini pasaran minyak masak bukan bersubsidi.

“Kertas siasatan dibuka di bawah Subseksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122),” katanya.

Beliau berkata, mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta 122 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, kata beliau, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

“Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),” ujarnya.

Katanya, jika disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

“Siasatan menyeluruh juga akan dilakukan untuk mengenal pasti individu atau syarikat dan rantaian pengedaran minyak masak yang terlibat serta memastikan mereka dikenakan tindakan tegas.

“KPDN memberikan amaran keras kepada semua yang berkaitan dan menegaskan bahawa kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram itu,” tegasnya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya