SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor memaklumkan menerima kertas cadangan bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa krisis kemanusiaan akibat perang Israel – Palestin di Gaza.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kertas cadangan tersebut termasuk daripada sebuah syarikat yang pernah bekerjasama dengan kerajaan negeri sebelum ini untuk membantu penduduk di Gaza.
“Untuk pengetahuan kerajaan negeri juga menerima kertas cadangan daripada penganjur yang kita pernah kerjasama sebelum ini pada 2021, sebagai contoh kerajaan negeri mengeluarkan dana untuk membeli ambulans dan kemudahan peralatan kesihatan yang sekarang masih lagi beroperasi di Gaza.
“Kita akan ikut perkembangan dan berurusan dengan pihak berkenaan mungkin akan libatkan anak-anak syarikat kerajaan negeri sebab mereka perlukan top-up dari segi peralatan kesihatan pada ambulans yang sedang digunakan di Gaza,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Terdahulu, beliau menyerahkan cek cura kepada Setiausaha Bahagian Asia Barat Kementerian Luar Negeri, Datuk Zahairi Baharim sebagai simbolik sumbangan RM1 juta daripada kerajaan negeri kepada Tabung Kemanusiaan Palestin.
Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan tiada tekanan terhadap Selangor diterima oleh mana-mana pihak selepas pendirian negeri ini yang menyokong Palestin dan saluran bantuan kepada penduduk di Gaza.
“Setakat ini tiada, tetapi dalam media sosial kita dapat lihat how split the world daripada persoalan itu termasuk daripada kerajaan sampailah kepada syarikat-syarikat.
“Kerajaan negeri ambil keputusan tidak menyambung hasrat kita untuk menyertai Frankfurt Book Fair disebabkan pendirian mereka bertentangan dengan kerajaan negeri.
“Tiada yang secara spesifik sebab kita tidak berurusan langsung dengan negara luar yang biasanya di bawah Wisma Putra atau Kerajaan Persekutuan,” jelasnya.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan Ketua kumpulan bersenjata Hezbollah di Lubnan dilaporkan bertemu dengan pemimpin kumpulan pejuang Palestin dari Hamas dan Jihad Islam bagi membincangkan rancangan yang perlu dilakukan oleh pakatan mereka untuk mencapai kemenangan ke atas Israel.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Hezbollah, pertemuan itu melibatkan Pemimpinnya, Sayyed Hassan Nasrallah, Timbalan Ketua Hamas, Saleh al-Arouri dan Ketua Jihad Islam, Ziad al-Nakhala tanpa menyebut lokasinya. – UTUSAN