Selangor lancar projek perintis lupus sisa elektronik - Utusan Malaysia

Selangor lancar projek perintis lupus sisa elektronik

Elektronik
JAMALIAH Jamaluddin (empat, kanan) bergambar dengan wakil stesen minyak dan tetamu khas selepas merasmikan Hari Alam Sekitar 2023 Peringkat Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tiga lokasi stesen minyak dekat Bandar Utama, di sini dijadikan tempat pengumpulan barangan elektronik (e-waste) yang tidak lagi digunakan sebagai langkah untuk mengurangkan pembuangan secara tidak terurus.

Menurut Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin, ketiga-tiga stesen minyak tersebut merupakan projek perintis kerajaan negeri itu bermula bulan Disember depan.

“Selepas ini apabila  sesiapa ingin melupuskan gajet seperti telefon pintar, bateri ‘powerbank’ boleh melakukannya di stesen minyak. Ia lebih mudah kerana menjadi lokasi tumpuan awam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Alam Sekitar 2023, hari ini.

Beliau menambah, Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan terus memantau keberkesanan proses pelupusan melibatkan di semua stesen minyak yang terlibat.

“Kita tidak mahu melaksanakan sekaligus di semua stesen minyak disebabkan kita juga ingin tahu risiko (jika bahan elektronik dibuang di situ).

“Stesen minyak petrol adalah kawasan yang sensitif dan kita mahu lihat apa jenis barang elektronik yang sesuai dibuang.Pihak stesen minyak juga ingin tahu bahan elektronik yang sesuai dibuang di premis mereka hasil projek perintis ini,” ujarnya. 

Katanya lagi, bahan e-waste yang terkumpul akan sentiasa dikutip bagi mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini di kawasan stesen minyak terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN