DUNIA muzik K-Pop sememangnya sangat meriah. Saban hari ada sahaja kumpulan baharu yang muncul dengan keunikan identiti dan imej masing-masing. Mereka perlu tampil berbeza, tidak boleh sama.
Namun hakikatnya yang indah itu mungkin hanya untuk sementara sahaja. Populariti yang dikecapi bertahan sekejap sahaja. Ada yang terpaksa dibubarkan kerana masalah pengurusan dan ada juga kerana tidak sehaluan.
Apabila kecoh kontroversi kumpulan Blackpink dikatakan bakal berpecah, ramai yang kembali teringat beberapa kumpulan wanita lain yang dahulunya di tangga pertama, namun akhirnya terpaksa dibubarkan.
Jom kita buka lembaran sejarah, lima kumpulan K-Pop wanita yang telah lama melambaikan tangan dengan ucapan, selamat tinggal dunia K-pop!
PRISTIN
Disebut-sebut sebagai antara pembubaran kumpulan yang tidak adil, peminat meletakkan 100 peratus kesalahan itu di atas bebanan syarikat pengurusan kumpulan Pristin, Pledis Entertainment.
Mula debut pada 2017, Pristin yang cukup popular dengan lagu Black Widow dan Wee Woo hanya bertahan selama dua tahun. Mereka mula perlahan-lahan membubarkan kumpulan itu sekitar 2019.
Peminat menyalahkan pengurusan mereka kerana tidak berusaha untuk mempertahankan kumpulan tersebut dan gagal merancang strategi terbaik mempromosikan mereka. Bak kata orang, habis madu sepah dibuang! Kasihan.
SISTAR
Tampil dengan single pertama Push Push pada 2010, ramai menjangkakan kumpulan Sistar ini dengan mudah mengungguli carta-carta muzik ketika itu. Ternyata, ramalan itu benar belaka. Mereka menikmati populariti yang mega.
Apatah lagi, single mereka seterusnya seperti Touch My Body, Give It To Me dan Loving You menjadikan mereka ampuh sebagai antara salah satu kumpulan wanita K-Pop paling popular seantero dunia.
Mana tidaknya, gelombang Sistar ini cukup kuat sehingga mereka merupakan salah satu dari lima artis Korea yang pernah mempunyai lebih daripada sembilan lagu di posisi teratas dalam Gaon Digital Chart. Gila!
Namun panas tidak sampai ke petang, hujan membasahi bumi seni mereka. Mereka sudah menimbulkan ura-ura pembubaran selepas melancarkan lagu Lonely pada 2017. Selepas itu, mereka akhirnya berpisah.
4 MINUTE
Popular dengan lagu Crazy, What’s Your Name dan Volume Up, kumpulan 4Minute ini pernah mendunia sehingga satu ketika mereka dibubarkan. Keputusan itu mengundang sedih dalam hati peminat.
Mereka menyangkakan kumpulan itu akan bertahan lama dalam industri muzik namun ternyata, kegagalan syarikat pengurusan Cube Entertainment merancang karier mereka menjadikan 4minute hanya tinggal sejarah.
2016 menjadi tahun hitam untuk peminat 4Minute kerana mereka akhirnya dibubarkan apabila kontrak mereka tidak lagi disambung kecuali HyunA, yang sehingga kini kekal solo dan masih popular.
Sekitar 2019, salah seorang anggota 4Minute, Sohyun seakan memberi bayangan mereka akan kembali bersatu menerusi satu konsert namun sehingga kini, perancangan itu hanya kekal bayangan.
2NE1
Yang satu ini memang legenda. Mendunia dengan lagu-lagu malar segar antaranya, Come Back Home, You & I, I Am The Best dan banyak lagi, 2NE1 adalah kumpulan K-Pop paling popular sejak ditubuhkan pada 2009.
Menjadi salah satu kumpulan K-Pop paling ikonik dan disebut sebagai BigBang versi wanita, 2NE1 sentiasa menjadi contoh dan ikutan kumpulan wanita baharu yang sememangnya mengidolakan mereka.
Meski sudah dibubarkan pada 2016, aura dan ‘kuasa’ 2NE1 masih kekal sehingga sekarang. Lantas, setiap kali bekas anggota mereka keluar dengan karya solo, pasti ramai yang mahu mereka kembali bersatu.
Acap kali bayangan itu mengundang keterujaan peminat namun entah mengapa, mereka seakan belum bersedia. Kelab peminat 2NE1, Blackjack hanya menunggu masa untuk konsert reunion mereka. Tak sabar!
WONDER GIRLS
I want nobody, nobody but you! Baca baris lirik ini sahaja sudah buat anda teringat dengan melodi dan tarian lagu Nodbody dari kumpulan K-Pop wanita nombor satu ini kan? Mesti ramai yang rindu.
Mana tidaknya, mereka pernah datang ke Malaysia sekitar 2012 menyanyi dan menari lagu ini dengan berbaju kurung! Memang satu stadium menjerit. Ini baru betul-betul legenda muzik Korea Selatan.
Namun sayang seribu kali sayang. Mereka akhirnya dibubarkan pada 25 Januari 2017. Mereka juga sempat melancarkan lagu terakhir, Draw Me sebagai hadiah kepada peminat-peminat mereka.
Sehingga kini,ramai yang menanti mereka kembali bergabung dan mengadakan konsert berskala besar untuk mengenang semula kehebatan Wonder Girls. Tetapi, masih tiada ura-ura itu bakal terjadi.