PUTRAJAYA: Empat organisasi bukan kerajaan (NGO) menzahirkan sokongan padu terhadap Operasi Tufan Al-Aqsa yang dilancarkan pejuang Hamas ke atas rejim Israel demi melindungi kesucian Masjidil Aqsa.
NGO tersebut meliputi Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Perhimpunan Ulama Asia, Alliance of World Masaajid in Defense of Al-Aqsa dan Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat Malaysia yang membentuk Sekretariat Palestin Malaysia demi penyatuan umat Islam dan Kristian seluruh dunia bergabung membebaskan Al Aqsa.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Jurucakap Sekretariat Palestin Malaysia, Farazdaq Fargas berkata, operasi ini adalah tindak balas terhadap isu pencerobohan biadab pelampau Yahudi sendiri ke atas pelbagai tempat suci di sekitar Baitulmaqdis selama ini.
“Ia susulan pengabaian banyak negara Arab sendiri dalam isu perjuangan kemerdekaan Palestin bahkan ada pula yang menormalisasikan hubungan dengan Israel.
“Keupayaan luar biasa pejuang di Gaza melancarkan serangan boleh dianggap isyarat yang rejim Zionis sebenarnya mudah terdedah kepada tindakan balas,” katanya di sini semalam.
Pergerakan Hamas yang menguasai Gaza kelmarin melancarkan serangan mengejut bersama kumpulan Al Qassam, Jihad Islam, Al Quds dan batalion Jenin sehari selepas ulang tahun ke-50 peristiwa Perang Yom Kippur, namun segera dibalas tentera Israel yang melancarkan Operasi Pedang Besi.
Farazdaq berkata, sekretariat berkenaan turut menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dapat mengadakan sesi mesyuarat tergempar bagi mengeluarkan nota solidariti untuk Palestin.
Langkah sedemikian tegasnya, amat perlu kerana setakat ini belum pun ada sebarang tindakan berkesan mana-mana badan sejagat sejak Perjanjian Oslo dimeterai pada 1993.
“Sudah lebih tujuh dekad pendudukan haram Israel dibiarkan semakin buruk dan Operasi Tufan Al-Aqsa itu hanyalah reaksi bagi mencabar keangkuhan Zionis di Palestin,” katanya. – UTUSAN