Sekolah boleh ditutup jika IPU capai 200

Sekolah boleh ditutup jika IPU capai 200

LIM Hui Ying ketika melawat Jeti Chew di George Town, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Operasi persekolahan boleh ditutup sekiranya situasi jerebu semakin teruk di kawasan masing-masing dengan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) mencapai 200.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, pihaknya meminta pentadbir sekolah sentiasa memantau keadaan jerebu serta kualiti udara dari semasa ke semasa menerusi laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS). 

”Kementerian memang ada satu garis panduan yang mesti diikuti dalam situasi jerebu iaitu jika bacaan IPU melebihi 100, semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan murid mesti dihentikan.

”Jika IPU mencapai 200 sekolah akan ditutup iaitu murid-murid tidak digalakkan untuk ke sekolah, semua pembelajaran secara dalam talian,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Jeti Chew, di sini hari ini.

Sebelum ini, Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) dilapor mengesan lebih 2,000 titik panas di sekitar Kalimantan, Indonesia. 

Selain itu, beberapa kawasan mencatatkan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat yang mana sebanyak tiga kawasan di Johor mencatatkan bacaan  antara 101 hingga 200, setakat pukul 9 pagi hari ini. 

Berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), rekod IPU tertinggi direkodkan di dua kawasan di negeri Johor iaitu Pasir Gudang, iaitu 152 diikuti Larkin (156). 

Menurutnya, pihak sekolah juga perlu menggalakkan murid-murid untuk memakai pelitup muka dan meminum air yang secukupnya bagi memastikan kesihatan mereka dalam keadaan baik.

”Ibu bapa juga perlu memantau aktiviti anak-anak di rumah, kurangkan aktiviti luar dan pastikan mereka minum banyak air,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi berkata, setakat pukul 9 pagi ini, tiga daripada empat stesen bacaan IPU di Pulau Pinang merekodkan kualiti udara yang amat baik.

“Keadaan jerebu di negeri ini menunjukkan pengurangan kerana hujan beberapa hari ini.

”Saya telah memberi arahan kepada Jabatan Kesihatan negeri untuk memantau jika terdapat peningkatan kes yang terlibat dengan sistem pernafasan akibat jerebu untuk pihak kami menyusul dengan tindakan seterusnya,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya