Sedekad penyelidikan bioperubatan IMR - Utusan Malaysia

Sedekad penyelidikan bioperubatan IMR

IMR
SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan mendengar penerangan ketika melawat salah satu makmal penyelidikan perubatan dekat Institut Kesihatan Negara di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Terbuka Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) 2023 sempena sambutan ulang tahunnya ke-123.

Baginda tiba di Institut Kesihatan Negara (NIH) bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin diiringi Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa.

Zaliha berkata, lebih sedekad IMR menyaksikan sebanyak 183 projek penyelidikan bioperubatan dilakukan oleh institut tersebut pada tahun lalu termasuk 148 penerbitan yang sebahagian besarnya berada di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, penyelidikan perubatan di negara ini melalui institut itu turut membawa kepada pencapaian seperti pengawalan penyakit denggi dan perkhidmatan diagnostik untuk mengenalpasti punca penyakit.

“Salah satu contoh kejayaan yang patut dibanggakan adalah pencapaian dalam penyelidikan mengenai Wolbachia, di bawah pimpinan Dr. Nazni Wasi Ahmad, Pakar Penyelidik Entomologi Perubatan, IMR. Wolbachia adalah bakteria yang hanya hidup dalam sel serangga. 

“Menurut Kementerian Kesihatan 6 Malaysia, analisis menunjukkan kes denggi menurun sebanyak 33% hingga 100% di lokaliti di mana nyamuk Wolbachia dilepaskan. 

“Selain daripada penyelidikan, IMR turut menjalankan khidmat diagnostik bagi mengenal pasti penyakit. Secara purata, kira-kira 300,000 ujian diagnostik khusus setiap tahun dijalankan oleh IMR,” katanya dalam sembah ucapan pada majlis tersebut, hari ini.

Beliau menambah, IMR turut menjalankan penyelidikan kardiovaskular, Malaysian Acute Vascular Events Risk (MAVERIK Study) yang merupakan kerjasama antara saintis Malaysia dan United Kingdom untuk mengkaji potensi biokimia, genetik, gaya hidup serta pendedahan terhadap logam berat sebagai faktor risiko penyakit serangan jantung di kalangan rakyat Malaysia

Dalam pada itu, Zaliha memaklumkan IMR turut menerajui penyelidikan dalam pembangunan dua jenis vaksin Covid-19 iaitu jenis ternyahaktif dan pengantar asid ribonucleic (mRNA).

“Patik ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan rasa hormat dan penghargaan kepada semua pekerja perubatan, petugas kesihatan dan para penyelidik yang telah bekerja tanpa lelah untuk mengatasi pandemik ini. 

“Kewujudan makmal khas Covid-19 IMR adalah bukti kesungguhan dan komitmen dalam menyokong usaha-usaha mengatasi pandemik ini. Lebih 1.3 juta ujian PCR dijalankan pada Januari 2020 hingga Mei 2022 untuk mengenalpasti kes jangkitan Covid-19,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya