PETALING JAYA: Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob tidak mahu mencampuri urusan keluarga adiknya, Raf Yaakob termasuk keputusan adik iparnya, Mawar Rashid yang dikatakan sudah tidak bertudung.
Kata Fazley kepada Utusan Malaysia, dia menghormati privasi dan keputusan adik iparnya itu namun tiada keperluan untuk dia memberi sebarang komen terhadap tindakan peribadi itu.
“Saya hormati keputusan dan privasi mereka. Mereka ada hak peribadi untuk buat keputusan sendiri.
“Saya anggap dia (Mawar) ada sebab kukuh mengapa tiba-tiba bertindak sedemikian,” katanya.
Mawar yang juga seorang pelakon menerusi media sosialnya memuat naik gambar tidak bertudung dengan kapsyen yang mengundang persoalan warganet.
“Saya dah cuba, tetapi gagal. Maafkan saya,” tulis ibu kepada tiga anak itu.
Dalam pada itu, ditanya adakah dia perasan perubahan Mawar sehingga mengambil keputusan untuk tidak lagi berhijab, kongsi Fazley, sebagai abang ipar, dia tahu pelakon itu mempunyai masalah tekanan mental yang serius.
“Saya rasa semua pun sedia maklum dan Mawar juga sudah berulang kali memberitahu, dia mempunyai masalah kesihatan mental yang serius. Sebagai abang ipar, saya juga ambil maklum.
“Tetapi saya juga ada batas sendiri untuk tidak mencampuri secara teliti kehidupan mereka. Sekadar nasihat dan perhatian sebagai seorang abang.
“Kita doakan yang terbaik untuk Mawar dan Raf, hadapi ujian ini,”ujarnya. – UTUSAN