Saya tidak akan maafkan dia dan keluarga - Utusan Malaysia

Saya tidak akan maafkan dia dan keluarga

SITI Asmiza Azizan (kiri) di kubur anaknya yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Matang Gerdu, Bagan Serai semalam. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI:  ‘Sampai hati dia buat anak saya macam sampai macam itu, hingga mati. Saya tak akan maafkan dia dan keluarganya.’

Demikian luahan Siti Asmiza Azizan, 38, ibu kepada Ayyash Aulian Muhammad Faizul, kanak-kanak berusia dua tahun yang meninggal dunia disyaki didera teman lelakinya dalam kejadian di Taman Serai Permai di sini kelmarin.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika anaknya itu dijaga sementara oleh teman lelaki dan keluarganya sejak Selasa lalu.

Katanya, sudah kali ketiga dia memberi kepercayaan kepada teman lelakinya itu dan keluarganya untuk menjaga anak itu kerana sebelum ini tiada kejadian tidak diingin berlaku.

“Pada Selasa lalu, dia (teman lelaki) datang ambil anak saya untuk dibawa pulang ke rumahnya, yang terletak hanya dua lorong dari rumah keluarga saya.

“Ini kali ketiga anak saya dibawa ke rumahnya untuk dijaga sementara seperti sebelum ini. Keesokannya saya menghubunginya bertanyakan keadaan anak dan dia kata anak saya suka tinggal dengannya dan ketika itu saya masih dapat mendengar suara anak saya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, pada Khamis dia sekali lagi menghubungi teman lelakinya namun teman lelakinya memarahinya dan ketika dia mahu mendengar suara anaknya itu, teman lelakinya memberitahu anaknya sedang tidur.

Katanya, dia ke rumah teman lelakinya untuk mengambil anaknya namun pintu pagar dan pintu rumahnya bertutup.

Jelasnya, dia hubungi teman lelakinya namu teman lelakinya itu memberikan alasan yang sama iaitu anaknya sedang tidur.

“Sejak itu saya tidak lagi mendengar suara anak saya sehinggalah saya dihubungi oleh teman lelaki saya yang meminta saya datang ke Klinik Bagan Serai.

“Sebaik sahaja sampai, saya dapati anak saya telah diselimutkan dengan kain batik, kaku tidak bernyawa.

“Luluh, hancur hati saya apabila melihat keadaan anak saya, saya tak akan memaafkan dia serta keluarganya sampai bila-bila,” katanya.

Katanya, dia mengenali teman lelakinya itu sejak tahun 2014 dan anaknya itu merupakan hasil perkongsian hidup dengan suaminya yang kedua.

“Saya meletakkan kepercayaan kepadanya namun apa yang dilakukannya amat menghancurkan hati saya. Saya sama sekali tidak menyangka anak saya berakhir dengan begitu tragis,” katanya.

Sementara itu, jenazah kanak-kanak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Matang Gerdu di sini petang semalam.

Berikutan kejadian itu, polis menahan sepasang suami isteri warga emas yang menjaga sementara itu kanak-kanak dan anak lelaki mereka. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya