PENGALAMAN lebih satu dekad bukan alasan bagi penyanyi, Adira Suhaimi untuk mengangkat dirinya sebagai penyanyi bagus dan hebat.
Adira merasakan masih banyak kekurangan dan kelemahan yang perlu diperbaiki justeru penyanyi kelahiran Ranau, Sabah ini memutuskan untuk menyertai program Famili Duo yang akan bersiaran di TV3 bermula Oktober depan.
Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi nampak kelebihan Famili Duo sebagai platform yang dapat mengembalikan momentumnya yang sebelum ini, hampir hilang.
“Terus terang saya memang ikuti rancangan ini. Kalau ada rezeki untuk sertai memang tidak saya tolak kerana saya nak dapatkan semula rentak sebagai penyanyi.
“Walaupun ada pengalaman dalam dunia nyanyian, saya tak kisah dan rela terima kritikan baik dari juri mahupun penonton.
“Saya terbuka untuk perbaiki kelemahan yang ada dan sedia terima idea yang dicadangkan,” katanya.
Tidak hanya memikirkan tentang diri sendiri, Adira juga nampak kelebihan program berkenaan untuk kakaknya, Emma Suhaimi yang juga seorang penyanyi namun belum menyinar.
“Dia aktif menyanyi di Sabah, namun belum cukup dikenali. Saya harap program ini dapat menonjolkan bakatnya sebab rugi kalau dia tidak diketengahkan.
“Antara kami tidak timbul sebarang isu. Kami saling melengkapi, saya boleh menyanyi, dia pula boleh menyanyi dan bercakap. Itu satu kelebihan buat kami,” kongsinya lagi.
Disoal tentang persediaan, Adira mengakui banyak perkara yang perlu diambil kira, terutama dari sudut nyanyiannya yang dilihat semakin merosot lebih-lebih lagi selepas dijangkiti Covid-19 dan influenza.
“Kesan influenza memang sangat teruk, membuatkan pernafasan terganggu. Adakalanya sukar untuk saya capai nada tinggi ketika menyanyi secara live.
“Saya tak boleh biarkan. Kena masuk kelas untuk perbaiki mutu suara. Tambahan pula saya sekarang sudah bergelar ibu empat cahaya mata, keadaan makin mencabar. Apa pun kena belajar nyanyi semula dengan sertai kelas,” kongsinya.
AKTIF DI MEDIA SOSIAL
“Saya lebih selesa begitu, Alhamdulillah.”
Itu jawapan Adira apabila ditanyakan mengapa tidak dia berkongsi aktiviti bersama suami di media sosialnya.
Jelasnya, dia memilih untuk tidak terlalu memperlihatkan hal tersebut dan selesa hanya berkongsi konten-konten menghiburkan dia media sosialnya.
“Alhamdulillah, content yang saya kongsikan di media sosial setakat ini belum lagi menyentuh sensitiviti masyarakat. Semua berdasarkan hal kekeluargaan, apa yang berlaku di rumah.
“Tapi saya bersyukur, walaupun aktif membuat kandungan di media sosial, orang tidak lupa saya penyanyi kerana mereka masih kenal dan masih meminta lagulagu saya dinyanyikan. Saya bersyukur kerana masih dihargai,” jelasnya.