Saya bukan orang Islam, saya minum apa salahnya – Tiong King Sing

Saya bukan orang Islam, saya minum apa salahnya – Tiong King Sing 

TIONG King Sing berucap semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat hari ini. GAMBAR JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya meminta pembangkang supaya tidak mempertikai pegangan dan cara hidupnya yang mungkin berbeza dengan orang lain seperti amalan meminum minuman keras sehingga mabuk

Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pertimbangan benar atau salah dari perspektif penganut agama Islam berbeza dengan dirinya sebagai kaum Cina dan bukan Islam. 

Sehubungan itu, katanya, tidak menjadi kesalahan untuknya minum minuman keras sehingga tahap kurang siuman kerana sebagai bukan Islam, dia bebas melakukan apa sahaja. 

“Saya bukan orang Islam, saya minum apa salahnya? Saya pergi Pelangai sana (semasa pilihan raya kecil), mereka ajak saya menyertai Festival Tanglung, saya minum, saya bermain dengan budak-budak macam orang ‘gila’, jadi, apa salahnya? 

“Ini budaya orang Cina, tiada masalah. Jangan cerita bukan-bukan. Kalau saya orang Islam, saya memang tidak boleh buat macam itu, tapi saya bukan Islam, maka, saya boleh buat,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau terdahulu dalam ucapan memetik Ahli Parlimen Masjid Tanah (tidak dinamakan) yang mendakwa beliau mengambil minuman keras sehingga menjadi mabuk.

Pada 16 Oktober lalu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan secara sinis menegur King Sing yang dianggap tidak sesuai menjalankan tugas sebagai menteri yang menjaga hal ehwal pelancongan, seni dan budaya.

Katanya, King Sing seolah-olah mahu memperkenal Malaysia dengan cara mabuk dan menari di khalayak ramai.

King Sing merupakan pemimpin dari Sarawak merangkap Ahli Parlimen Bintulu dan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), salah satu parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS). 

Dalam pada itu, katanya, sebagai wakil rakyat, seseorang ahli Parlimen wajar memberi perhatian kepada tugas mereka iaitu berkhidmat untuk kawasan yang diwakili.

Beliau juga menyarankan semua Ahli Parlimen supaya mengambil tanggungjawab membangunkan industri pelancongan negara dan bukannya terus menyalahkan kerajaan.

“Tapi jangan komen hal ehwal bangsa-bangsa lain, jangan jejaskan keharmonian dan perpaduan negara kita,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya