KUBANG PASU: Seorang pemandu treler yang dicekup Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam Op Patuh Khas Kenderaan Komersial mengakui mengambil methamphetamine untuk ‘menambah tenaga’ ketika membawa kenderaan berat itu.
Pemuda berusia 30-an yang ditahan kerana berada di bawah pengaruh dadah itu turut memberitahu dia tidak khayal walaupun mengambil bahan terlarang itu ketika memandu.
“Saya ambil (syabu) saja-saja ja, rasa kuat sikit bawa treler dari Bukit Kayu Hitam ke Penang,” katanya selepas ditahan dalam operasi diketuai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Jitra, di sini semalam.
Bagaimanapun, tindakan lelaki itu mampu mengundang kemalangan yang seterusnya mengancam keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya lain.
Sementara itu, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, pemandu treler terbabit merupakan antara empat individu yang ditahan kerana positif methamphetamine atau syabu.
“Operasi malam ini berjaya menahan empat pemandu kerana disyaki di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine. Kalau mereka dibenarkan berada di atas jalan, bagaimana risiko yang perlu ditanggung pengguna lain,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi tersebut.
Tambahnya, JPJ akan terus mempergiatkan usaha untuk melandaikan statistik kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya termasuk mengadakan kolaborasi strategik melalui Op Patuh Bersepadu JPJ bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta agensi penguatkuasaan lain.
“Operasi akan diteruskan pada November ini bagi memastikan ekosistem pembudayaan keselamatan jalan raya yang lebih selamat kepada semua pengguna,” katanya. – UTUSAN