KUALA LANGAT: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sekali lagi menegaskan beliau menafikan akan menyertai Kabinet menerusi rombakan yang didakwa bakal dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, spekulasi berhubung perkara tersebut kerap dilaporkan mutakhir ini di pelbagai akhbar dan beliau mengesahkan akan terus memimpin Selangor sebagai Menteri Besar sehingga tamat penggal.
“Secara peribadi saya ingin terus kekal di Selangor. Dari dahulu (spekulasi) kata saya hendak lompat keluar ke parti lain, hinggalah dakwaan kata saya akan masuk Kabinet.
“Semua itu tidak betul, saya tidak pernah dibawa berbincang, didekati dan sebagainya. Namun pendapat saya secara peribadi, saya lebih suka (menumpukan) untuk menghabiskan penggal ini dengan sempurna,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Amirudin sebelum ini dilaporkan menjadi antara salah seorang yang akan diangkat ke Kabinet menerusi rombakan yang didakwa akan dilakukan selepas terdapat kekosongan susulan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia.
Malah, beliau menjelaskan, banyak perancangan dilakukan sejak tahun lepas untuk negeri ini dan Amirudin komited untuk menyelesaikannya satu persatu dengan segera.
“Jika berlaku pertukaran (Menteri Besar) ia akan mengambil masa untuk dilaksanakan dan pada masa sama Kerajaan Persekutuan akan mengambil masa untuk kesesuaian (kalau ada perubahan).
“Namun setakat ini tiada perbincangan (dengan beliau) mahupun pertemuan dengan Perdana Menteri (berkenaan rombakan kabinet dengan),” ujarnya. – UTUSAN