Sasaran 300,000 pelancong kunjungi Tasik Kenyir tahun ini - Utusan Malaysia

Sasaran 300,000 pelancong kunjungi Tasik Kenyir tahun ini

PEMANDANGAN menarik yang menggamit lebih ramai pe;lancong di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri yakin mampu mencapai sasaran seramai 300,000 pelancong ke Tasik Kenyir di Hulu Terengganu pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, setakat Julai tahun ini, seramai 141,487 pelancong telah direkodkan mengunjungi tasik tersebut. 

Menurutnya, beliau optimis dapat mencapai sasaran tersebut kerana walaupun musim tengkujuh adalah waktu yang suram untuk aktiviti pelancongan di kawasan lain seperti pulau peranginan.

Bagaimanapun, katanya,  situasi tersebut  berbeza di Tasik Kenyir kerana menjadi tumpuan kaki pancing pada musim tengkujuh.

“Ini kelebihan Tasik Kenyir kerana merupakan ‘syurga’ untuk kaki pancing setiap kali musim tengkujuh dan ia bakal memberi impak yang sangat positif kerana kebiasaannya tempahan rumah bot akan penuh sepanjang tempoh itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini, hari ini.

Terdahulu, ketika sesi soalan lisan, Mohd. Zawawi Ismail (Pas – Telemong) bertanya berapakah jumlah kehadiran pelancong ke Tasik Kenyir sejak kebelakangan ini dan apakah usaha yang dilakukan kerajaan negeri untuk merancakkan semula aktiviti pelancongan di lokasi tersebut.

Razali yang juga Ahli DUN Kijal memberitahu, kerajaan negeri juga meletakkan sasaran kedatangan satu juta pelancong ke Tasik Kenyir pada tahun 2024 melalui pelbagai aktiviti menarik yang akan dirancang.

Menurutnya, antara tarikan utama di Tasik Kenyir ialah kepelbagaian ekosistemnya yang menjadi tumpuan seperti gua batu kapur (Gua Bewah dan Gua Taat), air terjun (Lasir dan Saok) dan Gunung Gagau di Taman Negara.

Selain itu, ada beberapa aktiviti untuk pelancongan sukan seperti kejohanan motor lasak, pacuan empat roda dan berbasikal turut diatur bagi individu yang memintai cabaran fizikal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya