KUALA LUMPUR: Anak negeri bakal mengisi kekosongan guru sekolah di Sarawak, sekali gus bakal meningkatkan tenaga pengajar di negeri itu.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sekarang ini Sarawak masih kekurangan lebih kurang 3,000 guru sekolah sama ada menengah atau rendah.
“Kita (kerajaan negeri) memberi perhatian kepada anak Sarawak untuk dilatih menjadi guru dan mereka dapat mengajar di Sarawak yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi Town Hall Sarawak Agenda di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusoff bersama ahli-ahli Gabungan Parti Sarawak yang membincangkan pembangunan negeri Sarawak.
Abang Johari mengakui isu kekurangan guru di Sarawak apabila soalan dilontarkan oleh pelajar yang hadir dalam sesi Town Hall Sarawak Agenda itu.
“Kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk melatih guru anak kelahiran Sarawak dan kemudiannya menempatkan mereka di sekolah di negeri ini bagi mengisi kekurangan jumlah guru,” ujarnya. – UTUSAN