Saman keluarga mendiang Karuna Nithi kekal ditolak

Saman keluarga mendiang Karuna Nithi kekal ditolak

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan keputusan mahkamah terdahulu yang menolak saman keluarga mendiang, P. Karuna Nithi yang sebelum ini ditemukan mati ketika berada dalam tahanan polis pada 2013.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk S. Nantha Balan yang bersidang bersama-sama Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dan Datuk Dr. Choo Kah Sing sebulat suara memutuskan demikian selepas keluarga terbabit pernah mengemukakan saman serupa sebelum ini dan gagal.

Ketika membaca penghakiman ringkas panel terbabit, Hakim Mohd. Nazlan menyatakan, prinsip res judicata terpakai dalam kes hari ini.

Tambahnya, walaupun saman kedua ini menggunakan pendekatan yang berbeza namun secara dasarnya ia masih lagi tertumpu kepada usaha mendapatkan ganti rugi daripada kerajaan atas kematian Karuna Nithi yang juga seorang jurutera.

“Walaupun kausa tindakan (saman kedua) kelihatan berbeza (dengan saman pertama), adalah tidak tepat untuk menyatakan bahawa saman pada hari ini tidak berkaitan dengan saman pertama.

“Melihat kepada persamaan kedua-dua saman itu, perayu (keluarga Karuna Nithi) sepatutnya memasukkan (kausa tindakan saman kedua) dalam saman terdahulu namun gagal berbuat demikian. Prinsip res judicata adalah terpakai dalam kes hari ini,” katanya.

Res-judicata bermaksud perkara yang telah diadili oleh mahkamah berdasarkan merit dan tidak boleh diteruskan oleh pihak  sama.

Pada prosiding hari ini, keluarga mendiang yang terdiri daripada balu Karuna Nithi, R. Kaliamah dan dua anaknya, K. Yugesh Varan dan K. Kisho Kumar diwakili peguam T. Manoharan.

Kerajaan dan pihak polis diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Donald Joseph Franklin.

Saman pertama difailkan oleh keluarga Karuna Nithi di Mahkamah Tinggi Seremban pada 2018 dan ditolak atas alasan ia telah melebihi tempoh masa yang dibenarkan iaitu tiga tahun. Karuna Nithi meninggal dunia pada 2013.

Mahkamah Persekutuan pada Disember 2020 mengekalkan keputusan tersebut atas alasan tindakan saman tersebut sepatutnya dibuat dalam tempoh 36 bulan selepas kejadian tersebut dan bukannya daripada tarikh keputusan inkues.

Saman kedua difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021 dan ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada Februari 2022.

Karuna Nithi pada mulanya ditahan di ibu pejabat polis Tampin pada 28 Mei 2013 ditemui mati dalam lokap di ibu pejabat polis daerah Tampin pada 1 Jun 2013.

Mahkamah Koroner Seremban dalam keputusannya menyatakan antara lain Karuna mempunyai 49 kecederaan di seluruh tubuhnya, kebanyakannya adalah kesan lebam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN