Saham UEM: Tuntutan Halim Saad terhalang

Saham UEM: Tuntutan Halim Saad terhalang

Mahkamah KL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia menafikan mengambil alih pegangan saham United Engineers Malaysia Bhd (UEM) secara paksa, 23 tahun lalu.

Menurut pernyataan pembelaan yang difailkan oleh pihak kerajaan, pengambilalihan tersebut dipersetujui oleh bekas Pengerusi Eksekutif Renong Bhd., Tan Sri Halim Saad sendiri dengan pampasan sebanyak RM165 juta.

“Pengambilalihan oleh Khazanah tersebut adalah dibuat dengan persetujuan plaintif (Halim) sendiri. Hal ini diakui oleh plaintif sendiri melalui surat plaintif kepada Khazanah bertarikh 13 Mei 2003. 

“Lanjutan daripada surat tersebut, plaintif dibayar dengan pampasan berjumlah RM165 juta oleh Khazanah yang dibuat dalam dua bahagian iaitu bayaran pertama sebanyak RM45 juta pada 22 Mei 2003 dan bayaran kedua sebanyak RM120 juta pada 26 Mei 2003,” ujar pernyataan pembelaan tersebut.

Selain itu, tuntutan Halim yang difailkan pada 2 Ogos lalu adalah terhalang kerana tuntutan serupa pernah dibuat pada 2013 dan ditolak oleh Mahkamah Tinggi serta disahkan oleh Mahkamah Rayuan.

“Plaintif memfailkan tuntutan yang sama pada tahun 2013 berkenaan ganti rugi pengambilalihan pegangan saham plaintif dalam UEM dan Renong. Mahkamah Tinggi membatalkan tuntutan tersebut pada 31 Oktober 2013 dan rayuan plaintif ke Mahkamah Rayuan juga ditolak pada 27 Ogos 2014. 

“Permohonan plaintif untuk kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan juga ditolak pada 7 Julai 2015. Oleh itu tindakan Plaintif adalah terhalang oleh prinsip res judicata (satu perkara yang telah diadili apabila tidak dapat dibangkitkan lagi) dan estoppel (terhalang).

“Tuntutan plaintif adalah berkisar tentang kejadian yang berlaku pada tahun 2001 yang mana pengambilalihan terhadap saham milik plaintif sempurna pada tahun 2001 dan bayaran pampasan dilakukan pada tahun 2003. 

“Sehubungan itu, tindakan plaintif adalah jelas terhalang oleh had masa di bawah Akta Had Masa 1953 dan Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948,” kata pernyataan tersebut.

Pada 2 Ogos lalu, Halim menyaman bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga ketiga bagi menuntut pampasan berhubung kerugian yang dialaminya selepas menjual pegangan saham dalam syarikat itu secara paksa, hampir 23 tahun lalu.

Menurut pernyataan tuntutannya, Halim selaku plaintif mendakwa, beliau diarah oleh Dr. Mahathir dan Nor Mohamed supaya tidak meneruskan pemerolehan 32.69 peratus saham Renong daripada United Engineers Malaysia Bhd (UEM) sebaliknya dikehendaki menyokong inisiatif kerajaan melalui Khazanah Nasional Bhd. untuk mengambil alih UEM secara tawaran am.

Menurut ahli perniagaan terkemuka itu, tindakan bersama kedua-dua defendan menyebabkan beliau hilang kawalan terhadap Renong serta kawalan secara tidak langsung dalam UEM dan hak sebagai pemegang saham dilucutkan ekoran pengambilalihan UEM oleh Khazanah menyebabkan saham Renong miliknya mengalami penurunan nilai.

Halim juga mendakwa beliau tidak diberikan sebarang pampasan walaupun dijanjikan akan diberikan wang pampasan RM1.3 bilion antaranya meliputi wang tunai sebanyak RM325 juta.

Oleh yang demikian, plaintif memohon deklarasi bahawa beliau pemilik sah dan benefisial saham Renong, bukan UMNO.

Halim turut memohon deklarasi bahawa kerajaan secara paksa mengambil haknya untuk melaksanakan tawaran am terhadap UEM dan bertindak melalui defendan pertama dan kedua.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN