PONTIAN: Kementerian Kewangan akan membentangkan satu Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi melantik secara tetap wakil dalam agensi tersebut dari Sabah dan Sarawak.
Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebelum ini telah ada wakil dari kedua-dua negeri tersebut sebagai Ahli Lembaga Pengarah LHDN namun dilantik oleh Menteri Kewangan.
Katanya, dengan pembentangan RUU itu, pelantikan Ahli Lembaga Pengarah LHDN selepas ini akan dirujuk dan mendapat persetujuan daripada Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak.
Menurut beliau, langkah itu bagi menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memastikan pelantikan Ahli Lembaga Pengarah tersebut benar-benar menepati kehendak dan harapan kedua-dua kerajaan negeri.
“Saya menjangka tiada sebarang halangan untuk ahli-ahli Parlimen menyokong RUU tersebut sebelum Bajet 2024 dibentangkan oleh Menteri Kewangan pada 13 Oktober ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Kita Madani Peringkat Negeri Johor di Dataran Majlis Perbandaran Pontian, di sini pagi tadi.
Turut hadir, Pengarah Penerangan Negeri Johor, Naim Fahmi Ahmad Tajuddin dan Pegawai Daerah Pontian, Zainal Eran.
Tambah Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, sebelum ini pihaknya telah membentangkan RUU berkaitan tetapi telah ditarik balik kerana perlu merujuk kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.
“Sebelum ini perkara tersebut tidak perlu, namun Pengerusi Jawatankuasa Khas Bahagian Kewangan dan Ekonomi, Datuk Mohd. Shahar Abdullah berpendapat perkara tersebut wajar diberi penekanan,” ujar.
Katanya, pelantikan Ahli Lembaga Pengarah LHDN merupakan kuasa penuh Menteri Kewangan, namun dengan adanya RUU tersebut, sedikit penurunan kuasa diberikan kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak. – UTUSAN