RUU Kawalan Produk Merokok gagal dibentang esok, agenda perlu

RUU Kawalan Produk Merokok gagal dibentang esok, agenda perlu dibawa ke Kabinet 

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 bagi bacaan kali yang kedua ditarik balik dari dibentang oleh Kementerian Kesihatan (KKM) esok. 

Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, penarikan balik RUU berkenaan yang melepasi kajian dan pertimbangan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi Parlimen sebelum ini perlu dibentang dan diluluskan oleh Kabinet terlebih dahulu. 

Bagaimanapun, sumber itu tidak menjelaskan secara terperinci bila RUU itu akan dibawa ke Kabinet sekali gus dibentang di Dewan Rakyat. 

“RUU ini ditarik balik kerana ia perlu dibawa dan diluluskan ke Kabinet,” kata sumber ketika ditemui di Parlimen hari ini. 

Sebelum ini, satu taklimat KKM kepada ahli Parlimen dan media sepatutnya diadakan pada pukul 5 petang ini, namun, ditunda ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, RUU tersebut akan dibentang untuk bacaan kedua di Dewan Rakyat, 10 Oktober 2023. 

Mengikut aturan urusan mesyuarat dan usul, RUU itu akan dibacakan untuk kali yang kedua di Dewan Rakyat. 

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad pula akan mencadangkan penyata yang disiapkan oleh jawatankuasa itu untuk diperkenan mengikut Peraturan Mesyuarat 60. 

RUU itu bakal melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik kepada individu yang dilahirkan selepas 1 Januari 2007.

RUU itu dibentang bacaan pertama pada 12 Jun lalu dan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan dengan penelitian dibuat oleh ahli-ahlinya  untuk membuat syor penambahbaikan.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan hari ini dilaporkan mengesahkan RUU tersebut yang dijadual dibentangkan semula ke Dewan Rakyat untuk dibahaskan esok, ditangguhkan.

Bagaimanapun, kata kementerian, RUU itu masih terkandung dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat yang bersidang bermula hari ini hingga 30 November depan.

“KKM ingin memaklumkan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 bernombor D.R. 25/2023 yang dijadualkan untuk dibentangkan bagi bacaan kali kedua pada 10 Oktober 2023 (esok) ditangguhkan.

“(Penangguhan) bagi memberi laluan kepada aturan urusan kerajaan lain sebagaimana disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) dan pembentangan RUU ini akan dibuat oleh kerajaan dalam masa terdekat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya