KETIKA William Friedkin menyudahkan penggambaran The Exorcist yang terbit pada 1973, satu demi satu pelakon dan ahli keluarga kru penggambaran meninggal dunia.
Ramai menganggap penggambaran cerita seram selama lebih daripada 200 hari itu sebagai satu sumpahan.
Percaya atau tidak, ia satu publisiti yang menjadi untuk zaman itu. Dari filem yang dianggap sumpahan, The Exorcist mula menunjukkan tuah apabila membawa pulang trofi pelbagai kategori Anugerah berprestij Oscar dan Anugerah Golden Globe pada 1974.
The Exorcist lebih banyak dipercakapkan dan kontroversi semakin menjadi-jadi sehingga ada tempat yang mengharamkan ia ditayangkan kerana beranggapan naskhah itu dipenuhi dakyah Kristian.
Namun begitu, ramai yang masih merasakan The Exorcist pada 1973 adalah kerja terbaik Friedkin dan sehingga ini menjadi antara filem terseram yang pernah dihasilkan.
Pendek kata, The Exorcist 1973 sudah meninggalkan impak. Oleh itu, ketika David Gordon Green bersetuju untuk membuat sekuel kepada jenama The Exorcist, dia perlu bersedia untuk dibandingkan dengan filem pertama dan menggalas harapan penonton agar The Exorcist: Believer boleh memberi kesan lebih baik daripada yang pertama.
The Exorcist: Believer mengekalkan konsep pengusiran hantu dari tubuh kanak-kanak seperti mana Regan yang dilakonkan Linda Blair pada 1973. Saya sampai hari ini berasa sangat takjub memikirkan bagaimana Linda mampu berlakon sebagus itu pada usia 14 tahun.
Namun, kanak-kanak yang ditampilkan untuk filem sekuel tidak kurang hebatnya terutama lakonan Olivia Marcum sebagai Katherine.
Ketika dirasuk, Olivia berjaya memberikan bahasa tubuh yang sangat mengerikan daripada pandangan mata, caranya ketawa, pergerakan kepala, tangannya yang menarik rambut sampailah harus melentok tubuh.
Saya tertarik bagaimana cerita ini memberi homaj kepada budaya dan kepercayaan Pagan dalam hal-hal berkaitan ilmu mistik.
Cuma, saya tidak pasti bagaimana respons penganut Kristian melihat percampuran cara penyembuhan masyarakat Pagan dan kaedah rawatan gereja ditampilkan pada masa sama di dalam layar.
Namun begitu, pada hemat saya, cara bagaimana proses penyembuhan dua kanak-kanak di dalam naskhah ini kelihatan agak serabut.
Ia tidak tegang atau menyeramkan, ia cuma kaku dan bercelaru. Sayang sekali kerana seperti tajuknya, proses inilah hal mustahak, inti kepada keseluruhan cerita.
The Exorcist: Believer mungkin menang daripada aspek mood juga pembinaan karakter, namun saya tidak boleh menolak bahawa untuk sebuah naskhah seram, nampaknya filem ini belum berjaya.
Jika anda menonton lambakan filem seram sempena Halloween di pawagam, filem ini bukanlah yang paling menonjol.
Sejujurnya, saya sedikit kecewa tapi tetap merasakan ia sebuah filem menarik ditonton hingga ke hujung bagi mengisi waktu lapang.
Jadi, adakah filem sekuel ini setanding keseramannya dengan filem pertama? Menurut saya tidak.