Rumah terbakar, sembilan sekeluarga tidak sempat makan tengah hari - Utusan Malaysia

Rumah terbakar, sembilan sekeluarga tidak sempat makan tengah hari

KEADAAN rumah milik keluarga Nurhuda Jamaludin yang musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sembilan sekeluarga tidak sempat menjamah makanan tengah hari apabila kediaman mereka di Kampung Banggol Peradong, di sini, hangus dijilat api, petang tadi.

Salah seorang mangsa, Nurhuda Jamaludin, 40, berkata, kejadian kira-kira pukul 1.40 petang itu berlaku ketika dia sedang berehat sebelum terdengar bunyi tingkap di tingkat atas rumah pecah.

Menurut suri rumah itu, dia yang berada di tingkat bawah kemudian memeriksa bunyi tersebut dan mendapati kepulan asap tebal serta api marak sudah memenuhi ruang berkenaan.

Katanya, mereka sekeluarga termasuk ibu mentua dan tujuh orang anak berusia dua sehingga 18 tahun segera menyelamatkan diri dengan keluar meminta pertolongan dan menelefon pihak bomba.

“Ketika kejadian, anak-anak baru balik dari sekolah manakala saya pula baru siap memasak dan kami sedang berehat sekejap sebelum makan tengah hari bersama-sama di tingkat bawah.

“Namun kami dikejutkan bunyi kaca pecah yang disangka disebabkan kucing, namun terkejut apabila saya terlihat kepulan asap tebal dan api sudah marak ketika melihat dari bahagian tangga.

“Kejadian berlaku begitu cepat dan saya hanya terfikirkan anak-anak serta ibu mentua menyebabkan kami keluar tergesa-gesa dan tidak sempat menyelamatkan dokumen penting.

“Tidak sampai 20 minit keluar dari rumah, tingkat atas yang diperbuat daripada kayu jatuh menyembah bumi namun saya bersyukur semua ahli keluarga terselamat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Yusmizan Yusof, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.42 petang.

Menurut beliau, 21 anggota termasuk tiga daripada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Losong Atap Zink dikerah ke lokasi kejadian dengan kekuatan enam jentera dan tiba lapan minit kemudian.

“Kediaman dua tingkat separuh kekal ini hangus 100 peratus dengan api berjaya dikawal sepenuhnya oleh pasukan menyelamat pada pukul 2.18 petang.

“Punca kebakaran dan anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya