Rumah tangga Mawar dan Raf baik-baik sahaja- Datuk Fazley - Utusan Malaysia

Rumah tangga Mawar dan Raf baik-baik sahaja- Datuk Fazley

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob, mengesahkan rumah tangga adiknya, Raf Yaakob dan isterinya, pelakon, Mawar Rashid berada dalam keadaan baik dan harmoni.

Perkara tersebut sekali gus menafikan desas-desus di media sosial berhubung rumah tangga mereka yang dikatakan sedang mengalami keretakan kini.

Menurut Fazley, sebagai abang sulung, dia sentiasa berhubung dengan Raf dan berdasarkan perbualan, adiknya mengakui tidak berlaku sebarang masalah.

“Tak wujud pergolakan antara mereka. Saya rapat dengan Raf dan apa sahaja berlaku dia akan cerita kepada saya.

“Saya baru berjumpa dengan Raf semalam (Ahad) dan mengaku kepada saya hubungan mereka baik-baik sahaja,” katanya.

Fazley ditemui ketika majlis santai bersama media di restoran miliknya iaitu Suka Sucre di Hotel Maya, Kuala Lumpur.

Sementara itu bercakap keadaan Mawar selepas kontroversi membuka tudung sebelum ini, kata Fazley, dia memberi ruang kepada adik iparnya untuk melalui fasa bertenang.

Malah, dia juga menolak andaian rambang orang ramai yang mendakwa Mawar mengalami masalah depresi selepas timbul dengan isu buka tudung.

“Sejak isu itu timbul, saya tidak pernah berjumpa Mawar. Tetapi saya akan hubungi dia melalui WhatsApp. Saya cuba beri semangat kepadanya.

“Dia dalam keadaan baik. Raf juga maklumkan perkara sama kepada saya. Kita beri ruang dan doakan baik-baik untuk dia,” katanya.

Dalam masa sama Fazley juga sedar dirinya turut terkena tempias apabila banyak pihak bertanya kepadanya berhubung isu tersebut.

Sebagai ketua keluarga, Fazley mengambil tanggungjawab penuh untuk memberi nasihat selain bercakap bagi pihak mereka.

“Iya, ramai yang tanya saya. Saya sibuk tumbuk sambal pun ada mesej masuk. Saya faham dan tidak pernah rimas.

“Soalan mereka itu tidak menghina. Mereka hanya prihatin. Sebagai abang long saya ambil tanggungjawab penuh.

“Suka saya ambil prinsisp lebih selesa berdiam dan berdoa dari jauh,” katanya.

Pada 10 Oktober lalu Mawar atau Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 29, mengejutkan banyak pihak apabila berkongsi foto tidak lagi berhijab

Sejak dari itu dia tidak memberi sebarang kenyataan berhubung tindakannya itu.

Namun baru-baru ini Mawar telah memadam gambar tidak bertudung di laman sosial miliknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN