PETALING JAYA: Masih berpengaruh dalam industri muzik tempatan, kumpulan popular, Ruffedge tampil dengan bukan sekadar satu tetapi dua lagu baharu, Belenggu dan Putus demi mengubat kerinduan peminat.
Jelas salah seorang anggota Ruffedge, Cat Farish, Belenggu boleh disifatkan sebagai satu wadah untuk mengungkapkan perasaan yang dialami oleh individu yang berdepan situasi tersebut.
“Kami ingin berkongsi mengenai perasaan dan pengalaman emosi yang mungkin dialami oleh segelintir pihak. Lagu ini juga bertujuan memberi ruang dan inspirasi yang positif kepada yang mengalami hal yang sama.
“Lagu yang mendapat sentuhan penerbit berbakat, Suffren Ghafar ini cukup istimewa kerana liriknya mempunyai maksud mendalam dan dihasilkan oleh kami sendiri.
“Belenggu menyuntik nafas baharu kerana menonjolkan elemen unik yang belum pernah didengari sebelum ini. Bagaimanapun, lagu ini tetap memelihara keaslian Ruffedge untuk kekal relevan dalam trend muzik era terkini,”ujarnya.
Menyuntik lebih warna, kongsi Cat, Putus juga turut menampilkan kolaborasi bersama Lah Ahmad yang merupakan bekas anggota kumpulan VE.
“Putus pula mengisahkan tentang perasaan kecewa disebabkan perpisahan yang berlaku sekali gus menghancurkan harapan dan impian yang dibina dalam sekelip mata,” katanya.
Untuk info, Ruffdege yang ditubuhkan pada 1998 itu dianggotai Zain Hamid, Sein, Azan, Mode dan Cat Farish.