Roziah persiap UiTM sedia terima kritikan sebelum bersara - Utusan Malaysia

Roziah persiap UiTM sedia terima kritikan sebelum bersara

UiTM
ROZIAH Mohd. Janor melakukan daftar keluar waktu kerja sebagai simbolik hari terakhir perkhidmatannya untuk bersara wajib mulai esok sambil diperhatikan anggota Majlis Eksekutif Universiti pada Majlis Sanjungan Budi Kilauan Bakti Naib Canselor, di Dewan Agong Tuanku Canselor UiTM Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersedia menerima kritikan daripada mana-mana pihak untuk memastikan universiti itu kekal mampan dan berdaya saing di peringkat global.

Menurut bekas Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor, UiTM bersedia menerima cabaran serta mempunyai pelan strategik untuk mengatasinya termasuk isu-isu dilaporkan akhbar atau tular dalam media sosial.

“Sebelum bersara, warga UiTM sudah dipersiapkan untuk menghadapi apa jua cabaran. Kita ada cara untuk mengatasinya. Ada pasukan yang disebut menjaga media, berita tular, kita ada yang menjaga UiTM.

“Tidak mengapa kalau hendak dilaporkan (kritikan), laporkanlah saya sudah persiapkan warga UiTM untuk hadapi apa juga cabaran. Kita ada cara untuk mengatasinya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sanjungan Budi Kilauan Bakti Naib Canselor UiTM sempena persaraannya, hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga berharap kepimpinan baharu universiti meneruskan gagasan Globally Renowned University (GRU) 2025 sebagai usaha meletakkan UiTM di peta dunia.

Menurutnya, gagasan tersebut wajar diteruskan sebagai usaha untuk memartabatkan universiti terbesar itu di persada antarabangsa yang dalam masa sama mengangkat dasarnya untuk memperkasa pendidikan Melayu dan Bumiputera.

“Saya berharap ia akan diteruskan seperti mana saya bawa ke tahap ini maknanya, jangan pusing belakang, jangan dirombak, terus ke hadapan. Saya doakan supaya mereka (kepimpinan UiTM) akan teruskan apa yang sudah dijalankan dan tambah baik,” jelasnya.

Sebagai rekod, Roziah merupakan wanita pertama dilantik menjadi Naib Canselor UiTM yang memiliki 34 cawangan di seluruh negara dengan jumlah mahasiswanya seramai 189,000 serta 18,000 kakitangan akademik dan pentadbiran.

Beliau mula menjawat jawatan tersebut pada September 2021 selepas menjalankan fungsinya (memangku) sejak Mac tahun sama ketika menjadi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (HEA).

Roziah yang mempunyai kepakaran dalam bidang matematik sudah berkhidmat dengan UiTM selama 33 tahun sebelum dilantik menjadi Naib Canselor UiTM Ke-6 menggantikan Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Azraai Kassim yang bersara pada Mac 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya