BESUT: Polis merampas rokok disyaki diseludup bernilai RM1.28 juta selepas memeriksa sebuah lori yang ditinggalkan di tepi jalan berhampiran Kampung Pachakan, Kuala Besut di sini pada Ahad lalu.
Pemeriksaan terhadap lori tersebut pada pukul 12 tengah hari menjumpai 760,000 batang rokok jenama terkenal yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, anggota polis bertugas telah menjumpai lori mencurigakan itu yang disyaki nosengaja ditinggalkan di tepi jalan tidak jauh dari lokasi sekatan jalan raya dilakukan di sempadan daerah ini dan Pasir Puteh, Kelantan pada pukul 9 pagi.
“Intipan dan pemerhatian telah dilakukan selama tiga jam sebelum pemeriksaan dilakukan terhadap lori terbabit.
“Pemeriksaan mendapati kenderaan berat tersebut mengandungi 76 peti berisi 50 karton rokok putih dipercayai diseludup,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini semalam.
Mazli berkata, siasatan awal percaya anggota sindiket sengaja meninggalkan lori tersebut di tepi jalan bagi mengelak terperangkap dalam sekatan jalan raya.
Tambah beliau, pihaknya percaya rokok jenama terkenal yang diseludup masuk dari negara jiran tersebut sedang dibawa untuk pasaran Lembah Klang atau selatan tanah air.
“Kita memang sentiasa memantau aktiviti penyeludupan termasuk rokok kerana daerah ini sering dijadikan transit setelah barangan seludup terbabit dibawa masuk dari negara jiran.
“Biasanya barangan seludup itu akan dibawa keluar dari Terengganu ke destinasi terlibat menerusi Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2),” katanya.
Mazli berkata, nilai rokok yang dirampas ialah RM340,000 manakala cukai tidak dibayar pula bernilai RM836,000.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebuah lori bernilai RM100, 000 yang didaftarkan di Batang Kali, Selangor bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya. – UTUSAN