IPOH: Sebanyak RM77.70 juta kerugian atas pelbagai kesalahan membabitkan jenayah komersial direkodkan di negeri ini sejak Januari hingga September lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, jumlah kerugian itu menunjukkan pengurangan sebanyak RM23.28 juta berbanding tempoh sama tahun 2022.
Bagaimanapun katanya, jumlah kes yang disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Perak menunjukkan peningkatan dengan 2,179 kes tahun ini berbanding 2,053 kes tahun sebelumnya.
“Antara kes yang mencatatkan nilai tertinggi membabitkan modus operandi seperti jual beli dalam talian, phone scam, pelaburan, tawaran kerja dan pinjaman tidak wujud.
“Sejak Januari lalu hingga kini, kita telah membuat tangkapan ke atas 1,096 orang yang terlibat di mana kebanyakan tangkapan merupakan pemilik akaun-akaun keldai,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, JSJK Perak juga berjaya mematahkan sindiket tipu nombor ramalan, ejen-ejen pencari akaun keldai dan juga tangkapan ke atas beberapa individu dipercayai ah long yang melakukan perbuatan khianat seperti simbah cat dan ugutan.
Katanya, sebanyak 764 pertuduhan telah dijalankan terhadap tangkapan sejak Januari hingga bulan lalu.
“Beberapa siri kejayaan tangkapan melibatkan kes menarik telah berjaya dibuat membabitkan penipuan pelaburan tidak wujud membabitkan kerugian yang besar dan mangsa yang ramai,” katanya.
Menurut Mohd. Yusri, meskipun pelbagai aktiviti dan program pencegahan dijalankan, masih ramai lagi yang tertipu dengan taktik penipuan itu di mana kebanyakan mangsa terdiri dalam kalangan golongan profesional, warga emas, pesara, golongan yang sendiri dan wanita.
Sehubungan itu katanya, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati apabila menerima panggilan daripada mana-mana pihak yang meminta membuat bayaran, transaksi di mesin juruwang automatik (ATM), memberi kod pengesahan transaksi (TAC) atau maklumat peribadi.
“Selain mendapatkan maklumat di media sosial mengenai taktik terkini ‘scammer’, orang ramai juga dinasihatkan membuat semakan dan pengesahan dengan pihak berkuasa, bank atau agensi berkaitan melalui talian rasmi atau bersemuka,” katanya. – UTUSAN